Halaman

Isnin, Mei 14, 2012

KISAH DUA WATAK MINAH SALLEH CELUP!!!


MEMILIKI kecantikan unik hasil perkahwinan campur dianggap satu kelebihan buat dua dara jelita ini, Diana Danielle Danny Beeson, 21, dan Siti Saleha Mohd Baharum, 22, untuk mencipta nama dalam bidang seni.

Buktinya, nama Diana mula menambat hati peminat apabila muncul dalam drama bersiri Airmata Maria. Populariti diraih membolehkan pelakon berdarah Melayu-Amerika ini beraksi di layar perak. 

Dalam tempoh lima tahun pembabitannya dalam seni, Diana membintangi 10 filem antaranya Maut, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Magika, ...Dalam Botol, Azazil dan Hanyut.

Perkara sama turut dilalui Saleha. Selepas drama bersiri dibintangi, Nora Elena bersama Aaron Aziz mendapat sambutan, adik kepada penyanyi utama kumpulan Bunkface, Sam ini mula menjadi buruan penerbit filem.




Antara karya layar lebar dibintangi termasuklah Zombie KL, Pak Pong, Bravo dan Kerat 14. Kini pelakon berdarah kacukan Inggeris-Melayu ini sedang menanti penggambaran filem terbarunya, Cinta Manis.



Perkembangan kerjaya dua aktres ini membuktikan penerimaan umum terhadap mereka semakin baik, tidak seperti dulu apabila rata-rata pelakon berdarah kacukan atau lebih popular dengan gelaran ‘mat saleh’ sering merungut tawaran untuk mereka tidak banyak dan watak diberi agak terhad. 

Ditemui di sesi fotografi khas bersama Selebriti Metro Ahad, Saleha akui kenyataan itu. Katanya, setakat ini watak ditawarkan kepadanya banyak yang pelbagai dan ini memberinya lebih peluang untuk menonjolkan bakatnya.

“Waktu mula-mula membintangi drama 5 Jingga, saya akui agak payah untuk menyesuaikan diri terutama dari sudut pertuturan. Bagaimanapun, saya beruntung kerana watak dipegang memang menggambarkan saya anak kacukan Inggeris. Selepas itu, saya mula belajar dan memperbaiki segala kelemahan.

“Pada saya, Nora Elena banyak mengubah persepsi umum mengenai diri saya dan juga kemampuan dalam lakonan. Ini kerana watak Nora Elena itu sendiri mengubah saya tidak kelihatan seperti anak orang putih dan lakonan saya sendiri langsung tidak nampak ‘mat saleh’. 

“Saya yakin apabila seorang pelakon berdarah kacukan itu mampu membuktikannya dengan bakat, soal tawaran kurang dan watak terhad tidak lagi timbul,” katanya.

Diana pula yakin seorang pelakon itu hanya akan bertahan dengan bakat kerana kecantikan dimiliki tidak akan kekal. Katanya, tidak kira pelakon berdarah kacukan atau tidak, tapi kalau kerjaya lakonan stereotaip ia tidak akan membawanya ke mana-mana.

“Setiap kali berlakon, saya pastikan watak dibawa berbeza agar penonton menilai sendiri. Syukur sepanjang pembabitan saya dalam bidang lakonan seawal usia 16 tahun, pelbagai watak sudah ditawarkan. Saya gembira kerana orang tidak melihat saya dari sudut fizikal semata-mata tetapi bakat dalam menzahirkan setiap watak,” katanya. - MyMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com

Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.

Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.

Sekian, Terima Kasih.