TIDAK sampai empat tahun bergelar pelakon drama televisyen (TV) dan filem, Tasha Shilla boleh dikategorikan sebagai pelakon generasi baru yang cepat melonjak namanya dalam bidang seni di negara ini.
Pelakon berusia 25 tahun ini bukan sahaja semakin popular di mata para penonton tetapi dia turut menjadi pilihan ramai penerbit serta pengarah filem yang mahu menawarkannya pelbagai watak dalam produksi masing-masing.
Malah, pemilik nama sebenar Natasha Sheila Abd. Razak ini turut menyerlah daripada segi imej dan personalitinya yang kini bergaya dengan kereta mewah jenis BMW.
Sungguhpun begitu, ada juga mulut-mulut nakal yang mempersoalkan kemampuan Tasha yang baru setahun jagung bergelar pelakon tetapi sudah mampu memiliki kereta mewah itu yang kononnya ditaja oleh pihak-pihak tertentu.
Pelakon berasal dari Ampang, Selangor ini bingkas bangun lantas menafikan tohmahan seperti itu. sebaliknya dia menjelaskan segala apa yang dimilikinya itu adalah hasil kerja kerasnya sebagai pelakon sejak tahun 2009.
“Kalau saya ditaja oleh VIP ke atau sesiapa juga, lebih baik saya tidak payah berlakon. Sedangkan setiap hari saya bekerja keras menjalani penggambaran drama dan filem tanpa mengira waktu kerana mahu mencapai impian saya.
“Sebenarnya sebelum menjadi pelakon lagi saya sudah ada kereta sendiri iaitu Proton Satria di mana selepas itu saya bertukar kepada kereta Perodua Kembara. Saya seorang yang amat meminati kereta dan selalu bertukar-tukar kereta.
“Apabila ada kemampuan saya memang akan bertukar-tukar kereta. Malah, sewaktu saya bersekolah menengah lagi saya sudah menggunakan kereta jenis Mitsubishi Pajero milik bapa untuk pergi ke sekolah," katanya kepada Hits.
Justeru katanya, isu itu hanya tohmahan semata-mata kerana sejak terbabit dalam bidang lakonan tiga tahun lalu menerusi filem pertama lakonannya berjudul Ratu The Movie, dia terus aktif dalam bidang tersebut.
Bukan setakat berlakon filem, malah Tasha juga menerima banyak tawaran berlakon drama TV yang tidak putus-putus sehinggalah ke hari ini menyebabkan dia menggunakan peluang itu bagi memenuhi hobinya yang suka bertukar-tukar kereta.
“Sekarang ini pun saya sedang merancang untuk bertukar kereta baru tetapi biarlah dirahsiakan jenisnya dulu kerana takut tidak jadi pula nanti. Saya rasa berhak bertukar kereta baru yang lebih bagus kerana saya menggunakannya untuk pergi menjalani penggambaran drama dan filem di merata-rata tempat.
“Lagipun tidak salah untuk saya menikmati hasil titik peluh saya dalam bidang lakonan. Cuma yang tidak sedap didengar lain pula tanggapan segelintir pihak apabila melihat kereta yang saya gunakan. Saya bukanlah orang kaya tetapi saya sentiasa berusaha untuk menikmati apa juga yang orang lain boleh miliki," ujarnya penuh makna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.