Halaman

Ahad, Jun 10, 2012

DUNIA LAKONAN TURUT TERIMA TEMPIAS KRITIKAN TERBUKA!!!


SEPERTI mengheret emosi Pinto dan Lara, dua tubuh yang mengusung nama Bront Palarae dan Nadiya Nisaa itu punya keserasian yang cukup kuat. 
Masuk sahaja ke sudut untuk dirakamkan foto, masing-masing menerbitkan karakter tanpa perlu dibentuk-bentuk.
Bukan atas faktor anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia semata-mata, tetapi kerja lakon Bront dan Nadiya sebenarnya lebih mahal berbanding trofi yang pernah mereka julang. 
Dilihat daripada pencapaian karier, mereka kalah dari segi kuantiti namun sentiasa dipuji kerana kualiti.
Bront dan Nadiya muncul sebagai pasangan dalam karya terbaharu Osman Ali berjudul Jiwa Taiko yang kini rancak berlegar di pawagam. 
Bertemakan aksi dramatik, filem Jiwa Taiko bagaimanapun berdepan kritik panas seawal menemui audiens pertama.
Sudah lumrah agaknya, jika sesuatu yang dinanti-nantikan itu menimbulkan banyak keraguan, pasti banyak perkara yang mahu dibahaskan. 
Jiwa Taiko awalnya dibikin dengan judul Bara Jiwa, namun atas desakan komersial serta retorik menarik perhatian khalayak ia ditukar menjadi Jiwa Taiko. Lebih catchy, kata si pengarah Ombak Rindu itu.
Isunya mungkin klise bagi sesetengah pihak tetapi keberanian pengarah dan pelakon-pelakon utamanya, naskhah Jiwa Taiko kali ini ibarat papan sasaran yang sedia ditembak. 
Kekaburan hala tuju, pergaulan bebas serta babak seks yang diberi gambaran berahi dalam filem edaran MIG itu mengundang kritik.
Bercakap tentang kritikan filem secara khusus, impak dan penerimaan mangsa kritikan itu sendiri, Bront dan Nadiya menjadi individu yang realis. 
Tidak melatah jauh sekali bersikap baran, mereka faham apa itu realisme dan kenal jenis-jenis pengkritik yang sedang didepani.
"Kritikan itu bagus. Itu tandanya khalayak masih mahu tahu dan mahu merujuk kepada tempat yang selayaknya. Bila sesebuah karya itu mengundang persoalan, maksudnya pengkritik ada pemikiran yang mahu ditulis.
"Apa jua sudut pandangan pengkritik, ia bertujuan memberi informasi dan setiap individu punya persepsi berbeza," lontar Bront dalam reaksi seorang yang idealis, seperti selalu.
Semua filem tempatan kini semakin hebat dikritik masyarakat di sebalik kepesatan media sosial terutama blog dan portal hiburan. 
Ruang kritik kini terbuka sama ada untuk pengkritik bertauliah, separa mahupun tidak bertauliah langsung. Itu jelas dan semacam budaya dalam dunia kini. 
Seolah-olah semua pihak kini mahu terlibat secara langsung dengan naskhah yang ditadahkan kepada khalayak.
"Sama ada kritikan yang dilemparkan terhadap karya seni itu bersifat ilmiah atau tidak, perkara itu luar kawalan karyawan seperti kami. Bukan hanya filem, muzik juga berdepan kritikan. 
"Sama ada kritikan itu sah atau tidak, ia tetap ada alasan yang boleh diterima pakai," akui Bront yang mengambil tahu setiap kritikan yang diterima tetapi tidak menganggap hal itu sebagai serangan peribadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com

Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.

Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.

Sekian, Terima Kasih.