Majlis Syura Ulama PAS Pusat hari ini sebuat suara membuat keputusan untuk melantik bekas Pesuruhjaya PAS Perlis, Hashim Jasin sebagai Mursyidul Am baru parti itu bagi menggantikan Allahyarham Datuk Haron Din.
Pelantikan itu dibuat selepas pemangku jawatan tersebut Ahmad Yaakob, yang juga merupakan Menteri Besar Kelantan terpaksa menolak untuk menerimanya ekoran komitmen yang tinggi terhadap rakyat di negeri Kelantan.
Menurut Setiausaha Majlis Syura PAS, Nik Mohamad Zawawi Nik Salleh, lantikan itu dibuat selepas mengambil kira alasan kukuh yang diberikan Ahmad, selain mahu individu lain yang dapat memberi nasihat kepada Kelantan.
"Mesyuarat Majlis Syura Ulama memutuskan pengganti kepada Datuk Haron Din adalah Haji Hashim Jasin dari Perlis. Pelantikan ini adalah cadangan daripada pemangku mursyidul am Datuk Ahmad Yaakob dan cadangan Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang.
"Faktor yang menyebabkan Datuk Ahmad menolak untuk dilantik sebagai Mursyidul Am dan Majlis Syura Ulama dapat menerima alasan-alasan iaitu kesibukan beliau untuk mengurus kerajaan Kelantan. (Dan) memerlukan seorang Mursyidul Am yang boleh memberi nasihat kepada Kelantan," katanya kepada Antarapos selepas selesai bermesyuarat hampir dua jam.
Hashim, 77, sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya PAS Perlis selama 37 tahun iaitu bermula tahun 1971 sehingga 2008. Bekas ADUN Sanglang itu kini menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Syura Ulama PAS.
Ahmad sebelum ini telah menyatakan hasratnya yang mahu menolak untuk mengambil alih jawatan tertinggi parti itu, dan ingin memberi laluan kepada individu yang dianggap jauh lebih layak berbanding dirinya.
Kerusi Mursyidul Am PAS itu kosong selepas Allahyarham Datuk Dr. Haron Din meninggal dunia pada 16 September yang lalu akibat komplikasi jantung, di Hospital Stanford, San Francisco, Amerika Syarikat.
Sebelum ini pemerhati politik berkata, Ahmad keberatan untuk menerima jawatan itu kerana dua penyandangnya sebelum ini, Allahyarham Haron dan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, adalah individu yang disegani dan ramai pihak meletak harapan yang tinggi kepada sesiapa sahaja yang akan menggantikan mereka kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.