Kebebasan bersuara untuk anak muda, demokrasi diperjuangkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah satu pembohongan, kata EXCO Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Muhammad Hafiz Azhar.
Beliau sebelum ini secara terbuka mendesak Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi penjelasan mengenai isu yang membelenggu mereka.
Muhammad Hafiz yang akan dihadapkan kepada Lembaga Disiplin PPBM berkata, dia mengakui kesal menyertai parti terbabit, selain menyifatkan dirinya tersalah memilih perjuangan.
Malah, beliau tidak menolak kemungkinan meninggalkan parti itu jika dia terus dilayan secara tidak adil, sedangkan 'kesalahannya' hanyalah bertanya soalan yang diajukan oleh akar umbi.
"Selepas saya ajukan soalan itu, pihak (dalam PPBM) yang tak berpuas hati arah cybertrooper hentam, fitnah saya, dikatakan saya pemakan dedak, gunakan gambar isteri dan anak saya.. .dalam kumpulan Whatsapp ARMADA pula, ada yang dakwa miliki maklumat nombor kad pengenalan isteri.
"Asalnya saya sangka ini perjuangan untuk mengubah nasib rakyat dan beri ruang anak muda bersuara, tapi lama kelamaan saya nampak (sebaliknya).
"Nasihat saya pada anak muda, fikir masak-masak (sebelum sertai PPBM), tengok apa yang jadi pada saya. Fikir-fikirlah, " katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Muhammad Hafiz sebelum ini tampil mendesak Dr Mahathir memperjelaskan mengenai tuduhan kekayaan dimiliki anak-anaknya yang diperoleh dalam masa singkat, manakala Muhyiddin pula mengenai tuduhan skandal dengan seorang wanita.
Desakan itu disanggah Ketua ARMADA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mahu Muhammad Hafiz dirujuk kepada Lembaga Disiplin PPBM serta mendakwa dia tidak hadir mesyuarat sayap parti itu, manakala Mukhriz mendakwa perkara itu dirancang sejak awal oleh parti lawan, khususnya UMNO.
Mengulas dakwaan Mukhriz itu, Muhammad Hafiz menafikannya dan berkata bekas Menteri Besar Kedah itu yang bertanggungjawab membawanya masuk ke dalam parti dan menjadikannya sebagai EXCO ARMADA.
Muhammad Hafiz juga mendakwa dia tidak hadir ke mesyuarat diadakan kerana kecewa isu dibangkitkan hanyalah mengenai bagaimana mengeksploitasi isu semasa, tetapi tidak membincangkan mengenai gerak kerja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.