"Kami pimpinan Perkasa ketawa besar bila Ketua AMK Shamsul Iskandar (Mohd Akin) bertanyakan apakah berkemungkinan Perkasa mendalangi letupan bom di pekarangan Mahkamah Jalan Duta."
Demikian respons Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berhubung kenyataan Shamsul semalam yang mencabar pertubuhan pembela hak orang Melayu itu menafikan pembabitan mereka dalam insiden Isnin lalu, yang terjadi sejurus selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah.
Bagaimanapun beliau menegaskan, pihaknya sedang mengkaji untuk mengambil tindakan perundangan ke atas Shamsul Iskandar, yang juga seorang peguam.
"Kepada Shamsul, 'terlajak perahu boleh undur, terlajak kata padah akibatnya'. Perkasa sedia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Shamsul. Kami akan kaji kenyataan yang Shamsul buat itu. Tuduhan itu sangat serius," katanya.
Syed Hassan seterusnya berkata, "mudahnya Shamsul Iskandar buat pengandaian begitu."
Dalam satu kenyataan semalam, Shamsul Iskandar mendakwa kemungkinan letupan bom buatan sendiri di pekarangan kawasan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur didalangi oleh ahli-ahli Perkasa.
"Apakah wujud kemungkinan bahawa insiden letupan tersebut didalangi oleh ahli Perkasa?" kata Shamsul Iskandar.
Sehubungan itu, kata beliau, AMK ingin mencabar Perkasa supaya menafikan sebarang penglibatan mereka dalam insiden letupan tersebut.
Katanya, cabaran Shamsul Iskandar supaya Perkasa menafikan sebagai dalang kejadian tersebut, "kami juga gelak besar dibuatnya."
Dengan sinis beliau menjawab cabarlah yang "susah sikit, yang masuk akal."
Katanya, "pada kami, dalam kebodohan Shamsul (Iskandar) mencabar Perkasa menafikan insiden tersebut, ada juga bijak si Shamsul ni."
Jelas Syed Hassan, bijaknya ialah beliau dengan cepat menuduh pihak lain sebelum orang lain tuduh pihaknya.
"Kami kalau nak, boleh juga menuduh mereka sendiri yang letupkan sebab terfikir juga jika Anwar bersalah, nak tunjukkan rakyat terlalu marah biarpun rakan sendiri yang kena," kata beliau lagi.
"Macam Amerika sanggup bunuh rakyatnya sendiri dengan letupkan menara berkembar di New York semata-mata nak tuduh al-Qaeda.
"Tapi, Perkasa bukan jenis macam itu nak mudah tuduh. Tambah lagi Perkasa anjurkan solat hajat pada 8 Januari minta negara pada keesokan harinya 9 Januari terus aman tanpa ada huru-hara," kata beliau sambil menambah, pihaknya bertanggungjawab untuk memastikan negara aman.
"Shamsul janganlah senang-senang nak 'spin' kenyataan (Presiden Perkasa) Datuk Ibrahim (Ali). Presiden kami hanya kata Perkasa sedia membantu pihak polis jika terjadi ketegangan pada 9 Januari. Cukuplah putar belit kenyataan orang, kepada Shamsul dari mencabar Perkasa supaya Perkasa menafikan, baik cabar Anwar Ibrahim serahkan DNAnya secara sukarela atau cabar Anwar lakukan sumpah laknat di masjid seperti mana Saiful lakukan. Aman negara kalau Anwar berani lakukan sumpah laknat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.