Halaman

Selasa, Januari 01, 2013

NEELOFA TERLAMPAU SAMPAI MENDIDIH!!!


Menghiasi wajah pertama Rap, pembuka lembaran tahun ini, pelakon yang juga pengacara jelita berusia 23 tahun ini tidak henti-henti mengucap syukur kerana apa yang pernah diimpikan dalam hati kini semuanya terlaksana.

Imaginasi dan angan-angan gadis putih gebu kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini perlahan-lahan direalisasikan. Titik tolaknya selepas menjuarai Dewi Remaja dua tahun lalu, pantas nama dan pesona wajahnya tidak henti-henti mewarnai pentas seni tempatan.

Mahu atau tidak, hakikatnya, anak kacukan Melayu, Pakistan dan Arab juga pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor yang mesra disapa Lofa ini paling laris dan sensasi sepanjang 2012.

Bagai merampas serta-merta daripada ramai pemiliknya sebelum ini, dua tahun berdiri sebagai anak seni sejak awal pembabitannya dalam filem Azura, Lofa tidak sekali-kali lekang terpalit kisah sensasi.

Meskipun jelasnya tidak pernah dirancang, jauh sekali berasa bangga, itulah harga yang perlu dibayar menjadi selebriti iaitu hak milik masyarakat dan terdedah kepada apa saja persepsi dan andaian.

“Kelakar juga apabila ramai rakan media mula menghubungi saya bertanyakan soalan yang sama, kononnya saya paling ‘panas’ tahun lalu. 

"Saya sendiri tidak pasti mereka (wartawan) melihat dari sudut apa dalam mengukur populariti dan nilai sensasi seseorang artis.

“Itulah realitinya kerana saya tidak punya suara untuk menafikannya kerana apa yang orang cakap mengenai diri saya. 

Segala macam kisah, gosip dan berita itu adalah perkara yang tidak pernah dirancang berlaku pada saya,” katanya mengakui tidak kira buruk atau baik publisiti yang diberi, ia masih dianggap satu publisiti.

Jelasnya lagi: “Seperti yang saya katakan apa saja spekulasi dan kontroversi itu bukanlah kehendak saya, sebaliknya ia digembar-gemburkan pihak lain. 

"Pening dan penat usah diceritakan kerana tidak henti-henti rasanya saya dihujani gosip namun alhamdulillah, semuanya saya redah dengan sempurna.

“Ikhlasnya, saya melihat semua itu dari perspektif positif yang mana selagi nama saya disebut dan kisah membabitkan saya diberi perhatian, masih ada orang yang ingat kerana jika sudah diketepikan, ia lebih menakutkan saya.

“Sebagai pendatang baru, saya bersyukur kerana adanya keluarga dan teman-teman yang tidak henti-henti menyokong selain memberi kepercayaan kepada saya. 

Itulah rahsia kekuatan dan resipi semangat yang saya amalkan,” katanya yang bakal bergelar graduan jurusan Sarjana Muda Perdagangan Antarabangsa & Pemasaran dari Universiti Kolej Sunway.

Kronologinya, pelakon filem S.A.M, Hantu Kapcai dan drama siri Tahajud Cinta dan Kau Yang Terindah ini mula mencetuskan pentas hiburan dengan kisah ‘merampas’ cinta pelakon lebih senior daripadanya.

Lebih yakin, Lofa ketika itu belum lagi muncul dengan filem sulungnya, Azura namun nama gadis bijak ini sudah hangat diperkatakan.

“Lofa itu perampas dan suka sangat buat kontroversi! Belum pun lagi membuktikan apa-apa, spekulasi jauh lebih heboh!”

Laungan sebegitu tidak lagi mengundang air mata. Sebaliknya jelas Lofa: “Saya sudah lali dan tidak lagi meratap walaupun pernah dulu terbit rasa kecewa dan patah semangat.”

Apa yang penting jelas Lofa, produk dan kerja itu perlu diletakkan ke depan agar ia menjadi penimbang atas persepsi serong mereka yang gemar menjatuhkan hukuman.

“Walaupun saya tidak pernah bebas daripada gosip, tawaran dan kerja saya tidak pernah berhenti. Ada saja wajah dan kerja saya di kaca televisyen. Itulah yang dikatakan hadiah atas kerja keras saya selama ini,” katanya berseloroh, 2013 akan lebih mendidih.

1 ulasan:

  1. Semalam pelakon watak 'ank puntianak' di tangkap dan kini direman di balai polis kelana jaya atas kesalahan akta dadah berbahaya.. Smga dia cpt insafff

    BalasPadam

Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com

Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.

Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.

Sekian, Terima Kasih.