Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bersetuju dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bahawa PAS tidak akan berkembang ke luar daripada pantai timur Semenanjung jika parti itu tidak menyertai Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP.
Secara tidak langsung, Kit Siang mengatakan bahawa PAS tidak akan dapat menawan negeri lain tanpa bantuan daripada Pakatan.
Dalam laman blog rasmi beliau, Kit Siang turut menyokong kata-kata Mat Sabu, iaitu kalau PAS berjuang secara bersendirian, sudah tentu PAS tidak lebih menguasai hanya daripada Rantau Panjang (utara Kelantan) sehingga ke Kemaman (Terengganu), tetapi di bawah Pakatan, kawasan yang ditaklukinya melebar sehingga ke Selangor dan mungkin sampai ke Johor.
Pada waktu yang sama, Kit Siang mengucapkan tahniah kepada pimpinan dan perwakilan PAS di atas kejayaan melaksanakan Muktamar ke-59 peringkat kebangsaan dengan lancar sehingga menggagalkan usaha Umno menerusi media sosialnya untuk mewujudkan perseteruan dan perpecahan dalam PAS dan menghancurkan kerjasama dan matlamat Pakatan Rakyat.
Beliau berkata, muktamar yang baru selesai itu memberi harapan kepada majoriti rakyat Malaysia yang percaya bahawa politik dua pakatan di Malaysia masih hidup dan bertenaga.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, dengan menganggotai Pakatan, PAS berjaya melangkah melampaui empat negeri terasnya.
“Kegagalan PAS di Kedah pada 2013 tidak boleh dikaitkan dengan penyertaan PAS dalam Pakatan, sebaliknya kerana faktor dalaman. Penjelasan yang sama boleh dikemukakan untuk memahami kemerosotan sokongan PAS di Kelantan.
“Jika sokongan terhadap PAS di negeri utama Melayu terjejas kerana keanggotaannya dalam Pakatan Rakyat, sudah tentu pencapaiannya di Terengganu tidak akan meningkat.
“Jelas bahawa pertambahan penduduk secara pesat di Semenanjung akan berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor. Di negeri inilah kita akan melihat adanya peningkatan jumlah kerusi (Parlimen dan DUN). Kebanyakan kerusi baru ini daripada segi kaum adalah kerusi ‘campuran’,” katanya dalam kenyataan media.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.