Halaman

Selasa, November 12, 2013

KP PAHANG BAGI AMARAN, BURU SUSPEK KE LUBANG CACING!!!


Polis Pahang percaya kematian Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Allahyarham Mohd Rafli Abdul Malik yang ditembak semalam, bermotifkan dendam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifudin Ab Ghani berkata, polis percaya tiga suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan tersebut mungkin berdendam atau tidak berpuas hati dengan Allahyarham dengan penguatkuasaan yang dijalankan.

"Bagaimanapun, polis sedang menyiasat dari pelbagai sudut sama ada ancaman di atas penguatkuasaan yang dijalankan arwah terhadap kes berisiko tinggi atau ada ancaman peribadi," katanya kepada pemberita selepas upacara pengebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam di Jalan Bukit Ubi di sini hari ini.

Katanya, selain itu polis turut memberi kawalan keselamatan terhadap waris mangsa bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang ancaman daripada pihak yang mungkin berdendam dengan mangsa.

"Pihak keluarga diminta bertenang dan banyakkan bersabar dengan dugaan ini, polis tidak akan sesekali memberi ruang kepada mereka yang terlibat dan kita akan buru suspek hingga ke lubang cacing," katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar kediaman penjawat awam yang bertugas sebagai penguatkuasa ditempatkan dalam sebuah kawasan bagi menjamin keselamatan mereka ekoran tugas mereka sangat berisiko dan terdedah terhadap pelbagai ancaman.

"Kerja sebagai penguatkuasa ini berdepan dengan bahaya, kadang-kadang kita tidak tahu ada musuh dalam selimut, jadi untuk keselamatan mereka terjamin elok ditempatkan sebuah kuarters yang mempunyai kawalan keselamatan yang baik," katanya.

Beliau juga dalam pada itu menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes tersebut atau menuding jari kepada mana-mana pihak.

"Hasil siasatan awal semalam mendapati suspek bukan berjubah tetapi memakai pakaian berwarna putih dan berbaju serta berseluar hitam selain memakai kopiah.

"Kita tidak boleh membuat sebarang andaian atau menyiasat menjurus melalui pakaian sahaja, siasatan mendalam dan terperinci sangat diperlukan. 

Oleh itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta segera memaklumkan kepada pihak polis," katanya.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Abdul Malik Awang Yen, 79, ketika ditemui berkata Allahyarham yang merupakan anak keempat daripada lapan beradik sangat baik dan berbudi bahasa orangnya.

"Saya sungguh terkejut apabila mendapat panggilan telefon daripada cucu saya (anak arwah) lebih-lebih lagi bila diberitahu arwah ditembak. 

Saya sungguh sedih namun reda dengan ketentuan Ilahi," katanya dan menurutnya kali terakhir dia berjumpa arwah pada Jumaat lepas di Indera Mahkota.

Mohd Rafli, 49, maut selepas ditembak tiga das oleh seorang daripada tiga suspek yang datang berjumpanya tengah hari semalam di kediamannya di Indera Mahkota 2 di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com

Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.

Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.

Sekian, Terima Kasih.