SHAH ALAM: Pelakon Rita Rudaini Mokhtar terkejut apabila Aidil Zafuan Abd. Radzak tidak hadir ke mahkamah rendah syariah di sini, Isnin bagi sebutan kes nusyuz (perintah kembali taat) yang dikemukakan suaminya itu.
Rita yang baru pulang daripada mengerjakan umrah di Tanah Suci, Mekah pada 3 Jun lalu berkata, dia mendapat kekuatan untuk naik turun mahkamah apabila kes sering tertangguh kerana yakin Allah memberi kekuatan kepadanya dan keluarga
"Saya sanggup melalui tempoh masa yang lama turun naik mahkamah demi anak-anak. Dan tak rasa susah pun, semua ini kerana Allah yang sentiasa memberi semangat buat saya dan keluarga," katanya.
Tambah pelakon itu, dia juga hairan kenapa Aidil tidak muncul di mahkamah pada Isnin tanpa sebarang alasan.
Terdahulu Mahkamah dimaklumkan oleh Peguam Syarie plaintif (Aidil), Ahmad Nazib Johari, memohon untuk menangguhkan kes pada pukul 12 tengah hari Isnin.
Bagaimanapun Peguam Syarie defendan, Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain, tidak menerima sebarang surat memaklumkan penangguhan tersebut dan seterusnya akan mengemukakan bantahan terhadap permohonan nusyuz yang dituntut Aidil.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad bagaimanapun menetapkan 9 Julai depan bagi memberi peluang kepada Rita mengemukakan bantahan berkenaan.
Sementara itu, Rita berkata dirinya lebih tenang selepas mengerjakan umrah bersama 30 orang ahli keluarganya yang lain, termasuklah anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, 4.
"Ini pertama kali saya membawa anak sama-sama mengerjakan umrah dan Alhamdulillah fikiran saya sangat tenang dan tidak memikirkan langsung tentang masalah ini (kes cerai).
"Malah, ketika hadir untuk sebutan kes hari ini, saya sangat tenang, tidak seperti sebelum ini. Saya berdoa supaya diri ini lebih kuat untuk mengharungi segala dugaan hidup agar dapat bahagia di samping anak-anak," ujarnya.
hmmm.. salam persinggahan.........
BalasPadam