JOHOR BAHRU: “Saya diperkenalkan dengan Senang pada 2 Julai lalu oleh anak dan mengambil keputusan bernikah dua minggu kemudian selepas dipersetujui keluarga kedua-dua pihak.
“Saya beranggapan Senang sesuai dan serasi dengan saya. Kerana itu saya gembira dan bersyukur kerana dapat memperisterikannya,” kata Suleiman Shahdan, 76, selepas bernikah dengan pasangannya, Senang Saidak, 71, ketika ditemui di Masjid Ungku Mohamad, Skudai Kiri, di sini, kelmarin.
“Saya sudah penat bersendirian selama ini. Sebagai manusia biasa, walaupun sudah tua kita tetap perlukan teman hidup bukan saja boleh menemani, malah menjaga kita.
“Saya anggap pernikahan kali ini anugerah yang tidak ternilai dan berharap ia berkekalan sehingga hujung nyawa kami,” katanya.
Berkongsi kegembiraan bertemu jodoh pada lewat usia, Suleiman menyifatkan ia satu anugerah tidak ternilai buat dirinya selepas menduda lapan tahun.
Menurut Suleiman yang juga pembantu imam Masjid Ungku Mohamad, Skudai Kiri, sejak menduda, dia berdoa pada setiap hari supaya dipertemukan dengan wanita solehah yang boleh diperisterikan seterusnya menemaninya melayari sisa hidup.
Berbeza dengan Senang yang sebelum ini tertutup pintu hati selepas menjanda dua kali akibat kematian suami, dia tidak menyangka perkenalan singkat itu membuka kembali hatinya untuk menerima teman hidup.
“Selepas bekas suami meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira 10 tahun lalu, pintu hati saya tertutup untuk berkahwin lagi walaupun sering didesak anak.
“Saya memang tidak sangka akan bernikah lagi pada lewat usia, mungkin inilah yang dikatakan jika jodoh memang tidak ke mana,” katanya.
Menurut Senang, dia terpikat dengan sikap kepemimpinan yang ada pada Suleiman dan membuatkannya sudi menerima lelaki berkenaan untuk menjadi suami.
Senang berasal dari Sungai Danga, di sini, dan Suleiman yang berasal dari Skudai Kiri, masing-masing dikurniakan lima dan enam anak berusia 30 hingga 46 tahun hasil perkahwinan lalu.
Majlis pernikahan pasangan itu meriah dalam suasana hujan renyai dengan dihadiri lebih 300 tetamu.
Ps: Bak kata lagu dari Tan Sri P. Ramlee, 'Kalau Dah Jodoh Tidak Ke Mana'...
Tahniah pakcik asal jangan perangai macam lebai PAS
BalasPadam