Halaman

Sabtu, Jun 21, 2014

RAKYAT FILIPINA SELAMAT DARI JADI HAMBA SEKS!!!


Lima wanita Filipina berusia 18 hingga 30 tahun, telah diselamatkan oleh polis daripada perhambaan seks, kata Ketua Polis Labuan, Penguasa Adzhar Othman, semalam.

Kejayaan menyelamatkan wanita asing daripada kegiatan tidak bermoral itu adalah yang terbesar dilakukan polis Labuan setakat tahun ini.

Adzhar mendedahkan bahawa berdasarkan maklumat awam, kesemua lima warga Filipina itu diselamatkan pada malam Isnin, kira-kira jam 10.30 malam di pusat hiburan di bandar dalam satu operasi yang diketuai oleh ASP Hasnan Abidin.
“Mangsa dilaporkan dijanjikan pekerjaan sebagai pelayan di pusat hiburan tetapi sebaliknya dipaksa bekerja selama sebulan tanpa gaji sehinggalah mereka diselamatkan. Memburukkan lagi keadaan ialah mereka juga dipaksa memberikan khidmat seks kepada pelanggan mereka.

“Berdasarkan siasatan awal, kami dapati semua mangsa dikurung dalam bilik-bilik yang disediakan oleh majikan dan mereka hanya dibenarkan keluar pada waktu bekerja.

“Kesemua mereka tidak mempunyai dokumen yang sah,” katanya menambah hasil serbuan mereka berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai menjadi pengurus pusat hiburan itu.
Pengurus berkenaan ditahan reman selama seminggu bermula hari Selasa kerana disyaki terbabit dalam memaksa mangsa untuk bekerja tanpa membayar gaji mereka.

Bagi warga Filipina terbabit, Perintah Perlindungan Interim dua minggu (IPO) telah diterima daripada mahkamah.
“Jika ada elemen penyeludupan manusia terlibat dalam kes ini, Perintah Perlindungan (PO) akan digunakan untuk tindakan lanjut sehingga kes ini diselesaikan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 13 Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Imigran 2007,” katanya.
Menurut Adzhar, usaha untuk membendung isu sensitif membabitkan penyeludupan manusia dan penyeludupan pendatang ini akan terus dilakukan dari masa ke semasa demi imej baik pulau ini dan juga hak asasi manusia walaupun mangsa datang dari negara asing.
“Kami mahu memberi amaran kepada pengendali pusat hiburan di pulau ini supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti penyeludupan manusia dan mereka perlu mematuhi undang-undang yang ada,” katanya.
Sementara itu, Adzhar memaklumkan bahawa ejen yang bertanggungjawab membawa lima mangsa dari Filipina ke Labuan, yang dikenali sebagai Rona, sudah ditahan oleh Pihak Berkuasa Filipina.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com

Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.

Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.

Sekian, Terima Kasih.