Karektor Kat sendiri sudah cukup kuat. Dengan susuk tubuh yang lampai serta paras menawan, diperlengkapkan lagi bersama bakat, siapa mampu melupakan aksi lincah gadis kelahiran Pulau Mutiara itu setiap kali membuat kemunculan di pentas.
Pun begitu, ke manakah Kat menghilang? Dan mengapa selepas tempoh enam tahun baru kini muncul dengan album perdananya.
Bagai sudah dijangka soalan yang berputar, Kat berkata, dia tidak ke mana-mana cuba agak sepi dari publisiti kerana dia sendiri memutuskan begitu ekoran tiada sebarang perkhabaran baru untuk dihebahkan kepada umum.
“Sekarang ini barulah Kat berani membuat kemunculan dan giat mempromosikan semula kerjaya seni Kat kerana Kat bakal melancarkan album sulung pada 15 Mei ini.
“Ada bahan untuk diceritakan pada khalayak, jadi tidaklah cakap kosong apabila ditemu bual. Kalau ikutkan sepanjang enam tahun Kat tidaklah menyepi terus, masih menyanyi sikit-sikit selain berlakon.
“Kalau berlakon pun bukanlah peranan utama. Kebanyakan watak kecil jadi seganlah nak bercerita pada umum. Takkanlah Kat nak minta wartawan temubual Kat sedangkan Kat cuma terbabit dalam beberapa babak saja.
“Selain berlakon dan menyanyi, Kat sekali-sekala timba pengalaman daripada pengurus Kat untuk mendalami selok belok perniagaan,” katanya.
Lanjut saja pada bicara album sulungnya yang memuatkan lima buah lagu, Kat berharap bingkisan dengan judul Menggoda itu mampu memperkenalkan kembali namanya.
“Sebelum ini Kat pernah membuat percubaan dengan menghasilkan album Chiki namun ia tidak begitu mendapat sambutan kerana segelintir pihak berpendapat lagu itu terlalu asing dari kehendak pendengar masa kini.
“Sesudah Chiki, Kat muncul pula dengan single kedua berjudul Hilang juga hasil ciptaan pemain gitar, komposer dan produser terkenal, Edrie Hashim. Lagu itu juga bagai dipandang sepi.
“Bagaimanapun Kat tidak pernah berputus asa dan jemu mencari materials yang sesuai. Akhirnya Kat berjumpa dengan Manusia Putih.
“Manusia Putih ini enggan mendedahkan namanya kerana dia memaklumkan pada Kat dia hanya mahu berkarya. Lebih 10 lagu diberikan namun Menggoda dan Senjakala, paling memikat hati Kat.
“Banyak lagunya bagus tetapi dua yang dipilih bersesuaian vokal Kat. Ketika sibuk dengan rakaman lagu Manusia Putih, Cat Farish menawarkan Kat lagu Senjakala.
“Ia begitu pantas menangkap di telinga Kat kerana sememangnya Kat sukakan lagu-lagu yang mempunyai unsur-unsur ‘dance music’. Apatah lagi, Kat gemar membuat persembahan, menyanyi sambil menari,” katanya. - myMetro
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.