SUDAH menjadi lumrah sifat manusia akan mudah tertarik pada sesuatu yang cantik. Sesiapa yang melihat dirinya pasti akan terpesona dengan keayuan serta kejelitaannya. Apatah lagi gadis kelahiran negeri di bawah bayu ini mempunyai tutur kata yang lemah lembut.
Sering menerima kritikan teruk ketika masih lagi menjadi pelajar Akademi Fantasia 9 (AF9), ketika itu Queennera Francine Francis Kitingon atau Nera masih dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan dunia seni dan mengakui sedikit tertekan dengan keadaan itu.
Namun, dia kini sudah benar-benar bersedia untuk menceburi bidang seni. Gadis berusia 20 tahun yang sering dilihat menangis sepanjang berada di AF9, kini lebih cekal dan bersedia untuk berhadapan dengan apa jua cabaran sebagai anak seni.
“Pengalaman yang saya dapat sepanjang bergelar pelajar AF9 membantu saya untuk menjadi seorang yang lebih kuat. Apatah lagi seseorang yang bergelar anak seni menempuhi pelbagai cabaran.
“Mungkin kritikan yang saya terima itu kedengaran agak keras dan maklum balas orang ramai terhadap nyanyian saya juga diakui kadang kala menyakitkan hati.
Namun saya jadikan perkara itu sebagai cermin untuk melihat kelemahan yang perlu saya perbaiki.
“Sekarang ini saya sudah semakin bijak untuk mengambil kritikan yang membina manakala yang lebih cenderung menjatuhkan semangat, saya abaikan saja,” katanya.
Nera yang mendapat perhatian melalui lagu Hatiku Milikmu, kini menunggu single kedua disiapkan tidak berapa lama lagi.
Menyedari masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, Nera berharap dapat mengikuti kelas vokal bagi meningkatkan lagi mutu nyanyiannya, sekali gus membuktikan dia juga mampu meruntun hati pendengar dengan vokal mantap dan bukannya bersandarkan pada wajahnya saja.
Namun, dek kesibukannya sebagai pelajar, akhir jurusan Diploma In Tourism di Asian Tourism International College (ATI), Nera terpaksa membataskan pembabitannya dalam dunia seni. Banyak tawaran sama ada menyanyi mahupun berlakon terpaksa ditolaknya kerana bimbang tidak dapat memberi komitmen dengan baik.
“Masih banyak teknik menyanyi yang perlu saya pelajari. Namun buat masa ini, saya masih terlalu sibuk untuk menghadiri mana-mana kelas vokal. Apabila sudah selesai pengajian, saya akan memulakan kelas itu.
“Cukuplah dengan apa yang dikatakan sebelum ini bahawa saya hanya bersandarkan pada wajah saja. Saya berhasrat ingin menunjukkan kemampuan dalam bidang nyanyian.
“Saya juga sempat menonton persembahan Shila Amzah ketika menyanyikan lagu Hatiku Milikmu dan terharu kerana penyanyi yang sudah mempunyai nama besar sudi membawa lagu itu. Tidak dinafikan, cara Shila mendendangkan lagu itu sangat lain daripada yang asli,” katanya.
BUATLAH APA YANG PATUT,YANG KAMU FIKIRKAN IANYA BETUL.TOH! PEDULIKAN APA KATANYA URANG.
BalasPadam