MELAKA - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka berjaya menahan seorang pelajar, yang juga gadis tempatan dan tiga lelaki warga Nigeria, dipercayai terlibat kes penipuan membabitkan wang tunai berjumlah RM233,277 milik seorang wanita berusia 56 tahun di negeri ini.
Ketua JSJK negeri, Superintendan Soh Hock Sing berkata, gadis berusia 23 tahun juga penuntut sebuah universiti tempatan itu ditahan jam 11.55 pagi pada 23 Ogos lalu di sebuah rumah sewa di ibu negara.
"Tiga warga Nigeria terbabit dua daripadanya berusia 27 dan seorang berusia 28 tahun pula berjaya diberkas pada jam 3.13 pagi, Isnin lalu di sebuah resort di sekitar Putrajaya.
"Mangsa diperdaya menerusi laman sosial Facebook dan berkomunikasi sejak Mei lalu yang mempercayai suspek adalah doktor dari luar negara," katanya.
Menurutnya, suspek memperdayakan wanita berkenaan, kononnya akan menghantar satu kiriman bungkusan mengandungi wang tunai berjumlah ASD380,000 (RM1,186,924.97) bagi menjalankan perniagaan tertentu.
“Mereka kemudiannya cuba membuat helah kononnya ada beberapa panggilan daripada lelaki lain yang mengatakan bungkusan berkenaan telah ditahan pihak kastam, Bank Negara dan sebagainya.
"Mereka seterusnya mengarahkan mangsa memasukkan sejumlah wang bagi melepaskan bungkusan berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, semalam.
Hock Sing berkata, pada 16 Jun lalu, suspek menyatakan mahu berjumpa dengan mangsa bagi menyerahkan duit tersebut di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur.
"Tetapi sebaik menemui suspek, mangsa terkejut kerana yang muncul adalah seorang awang hitam.
"Suspek kemudiannya membuka beg berkenaan dan menunjukkan duit tersebut," katanya.
Bagaimanapun katanya, mangsa hanya melihat kertas putih sahaja dalam beg tersebut sebelum diyakinkan oleh suspek, ia boleh bertukar menjadi ASD100 (RM312.342) selepas dicuci dengan sejenis cecair.
“Namun, suspek membuat helah menyatakan cecair berkenaan tidak mencukupi dan memerlukan mangsa menambah lagi wang tunai berjumlah RM10,000 untuk membelinya dan perlu dihantar ke kedutaan Amerika Syarikat untuk mendapatkan wang berjumlah ASD380,000 (RM1,186,924.97) itu,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang terpedaya dengan kata-kata suspek kembali semula ke Melaka untuk mendapatkan jumlah wang dikehendaki sebelum menyedari dia ditipu dan membuat laporan polis pada 16 Ogos lalu.
“Bertindak atas laporan, polis berjaya menahan semua suspek dan menyemak akaun pelajar wanita terbabit. Kami dapati berlaku lima transaksi berjumlah keseluruhan RM233,227 yang telah diserahkan kepada warga Nigeria terbabit, dipercayai teman lelaki wanita berkenaan.
“Ketiga-tiga lelaki yang ditahan mengakui sebagai pelajar, namun hanya seorang sahaja yang memiliki pasport,” katanya.
Berikutan tangkapan itu, polis turut merampas dua telefon bimbit yang mengandungi klip video lucah dipercayai digunakan sebagai perangsang bagi tujuan seks.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.
Dalam perkembangan sama, Soh berkata, sepanjang tahun ini polis telah menahan seramai 20 orang termasuk lima wanita tempatan berkaitan jenayah berkenaan, membabitkan penipuan berjumlah lebih RM700,000.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.