KELMARIN, ada pula kawan lama SS yang ajak singgah di sebuah pusat membeli-belah di kawasan Damansara selepas menghadiri rumah terbuka seorang teman lama.
Mulanya SS memang malas sebab sudah agak lewat, tapi memikirkan kawan semuanya ingin minum dan bersembang, SS ikut saja.
Masuk saja ke dalam pusat membeli-belah itu, melepasi beberapa bar dan restoran yang ketika itu penuh sesak dengan anak muda yang menyaksikan perlawanan bola sepak, mata SS tertumpu kepada sepasang kekasih yang duduk di satu sudut sebuah bar.
Mungkin kerana konsep bar di situ semuanya terbuka, jadi sesiapa saja yang duduk di dalam boleh dilihat dengan jelas dari luar. Tenung punya tenung, betul apa yang SS lihat itu.
Gadis muda yang duduk bersama seorang lelaki itu adalah pelakon yang agak dikenali namanya. Pernah membintangi sebuah filem dan beberapa drama, sudah pasti wajahnya dikenali walaupun bakat lakonan tidak ke mana.
Yang membuatkan mata SS tidak toleh ke arah lain apabila pelakon muda tadi dengan selamba meneguk minuman keras dan menghisap rokok di kawasan terbuka
seperti itu.
Walaupun umum mengetahui kononnya gaya hidupnya seperti orang putih, tapi SS rasa ada lebih baiknya dia bersikap hormat kepada sekeliling dan lebih pentingnya, menjaga reputasinya sebagai seorang selebriti.
SS lihat mukanya bersahaja macam tiada apa yang berlaku walaupun ramai yang berlalu terlihat gelagatnya dan mula mengomel sesama sendiri.
Mana tidaknya, umurnya masih terlalu muda dan sebenarnya belum habis pun lagi sekolah, tapi gayanya memegang gelas alkohol dengan hisap rokok sudah seperti seorang primadona Hollywood tanpa langsung ada rasa segan dengan orang sekeliling.
Malah, gayanya bersama kekasih berbangsa lain malam itu di bar tadi cukup intim dan romantis.
Sebelum ini, ramai bercerita mengenai pelakon muda tadi yang sikap terbukanya sudah tidak mampu dibendung. Mungkin dia menganggap kawasan perumahannya itu seperti Beverly Hills agaknya membuatkannya tidak segan silu.
SS bukan nak menyibuk jauh sekali nak berlagak baik menasihati orang, cuma rasanya sebagai seorang selebriti, pelakon muda tadi tidak sepatutnya berkelakuan begitu terutamanya di kawasan awam yang penuh dengan pengunjung berbangsa Melayu.
Nanti bila orang bercerita dan mempertikaikannya, cepat pula melenting dan menulis dalam laman sosial. Lebih mengeruhkan keadaan, adik-beradiknya yang lain juga sibuk menyebelahi adik yang terang-terangan salah.
SS harap pelakon muda tadi jangan lagi berkelakuan begitu. Kalau tidak sayang pada nama dan reputasi sendiri, jagalah nama baik ibu dan ayahnya yang juga dikenali ramai.
kenapa tidak dinyatakan siapa empunya diri. nak sorok buat apa lagi.
BalasPadamsape yg dimaksudkan ni?
BalasPadam