KUALA LUMPUR: Hasrat untuk mengenali Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang merupakan isteri kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan lebih mendalam menjadi faktor utama bagi dua aktres berlainan era Sofia Jane dan Lisa Surihani untuk membawakan watak tokoh itu.
Sofia atau nama sebenarnya Sofia Jane Hisham, 40, berkata, dia berasa teruja untuk menerokai sisi berbeza Tun Dr Siti Hasmah sebagai persiapan untuk lebih mengenali wanita berusia 86 tahun itu.
“Saya mahu menggali dan mengenali lebih mendalam sisi berbeza dan kisah-kisah Tun (Siti Hasmah) yang tidak pernah dipaparkan media kepada khalayak umum selama ini.
“Secara peribadi, saya kagumi dengan kekuatan luaran dan dalaman beliau dalam melaksanakan pelbagai tugas dan tanggungjawab iaitu ibu, isteri, doktor dan pemimpin dengan sempurna dan disegani.
“Seperti kita ketahui, aura kehadiran Tun dalam kehidupan rakyat Malaysia sangat dirasai biarpun dia tidak pernah menonjolkan dirinya di hadapan tetapi setia berada di belakang Tun Dr Mahathir,” katanya.
Sofia berkata, watak sebagai Tun ketika fasa dewasa itu merupakan pengalaman ketiga dia memainkan watak biografi tokoh wanita selepas Lijah dalam teater Malam Ini Penyu Menangis dan Natrah (Natrah).
“Saya suka memainkan watak wanita yang memberikan inspirasi kepada semua. Tun adalah inspirasi saya dan semua rakyat Malaysia dan ia adalah satu penghargaan buat saya.
“Saya akui agak keberatan untuk menerima watak ini sebelum tarikh pementasannya ditunda kerana tempoh latihan yang suntuk tidak memadai untuk pementasan besar ini.
“Apabila dimaklumkan ia dianjakkan ke November, saya berasa lega kerana punyai lebih masa untuk lebih mendalami beliau,” katanya.
Lisa Surihani yang menggalas watak sebagai Tun ketika usia muda sebelum mengahwini Dr Mahathir berkata, kebijaksanaan dan kerendahan hati wanita itu menyuntik keinginan kepadanya menjayakan peranan tersebut.
“Ini adalah peluang dan pengalaman bernilai buat saya. Tak pernah termimpi dapat memainkan watak tokoh besar yang bijak, rendah diri dan luhur seperti Tun.
“Saya terima cabaran ini walaupun ia bukan mudah dan perlu beri penekanan pada sebutan, teknik pernafasan dan lontaran suara,” katanya yang bakal dilamar sebagai juri Maharaja Lawak Mega 2012, tidak lama lagi.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.