KUALA LUMPUR: Aktres Natasha Hudson berkata dia menitikberatkan tawaran lakonan yang diterima demi menjaga batas dan adab sebagai muslimah sejak mula berhijab pada awal April lalu.
Natasha atau nama sebenarnya Natasha Liana Hudson, 30, berkata, atas kesedaran dan tanggungjawab itu dia akan mengelakkan babak-babak romantik atau bersentuhan dengan pelakon lelaki lain dalam drama atau filem.
“Setakat ini belum ada lagi tawaran watak atau babak yang romantik, intim dan bersentuhan dengan pelakon lelaki lain sejak saya bertudung.
“Bagaimanapun, saya tidak boleh terlalu cerewet terhadap tawaran yang diterima kerana ini (lakonan) adalah kerjaya saya.
“Mujurlah, kebanyakan pengarah dan penerbit peka dan menghormati batas-batas bagi pelakon yang bertudung seperti saya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pemenang trofi Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-20 menerusi filem Chermin ini mula bertudung selepas pulang daripada menunaikan ibadah umrah pada penghujung Mac lalu.
Justeru itu, Natasha berkata, dia kini memberikan keutamaan pada bidang pengacaraan dan urusan syarikat produksi miliknya dan suami Carleed Khaza iaitu Dream Cloud Productions.
“Atas kesedaran terhadap batas-batas pergaulan dan adab saya memberikan lebih tumpuan pada kerja-kerja belakang tabir dan pengacaraan sekarang.
“Saya banyak membantu suami untuk kerja-kerja produksi syarikat kami Dream Cloud. Saya juga aktif menyiapkan rekaan terbaru koleksi hijab yang dijual secara dalam talian,” ujarnya.
Bagaimanapun, ujar Natasha, dia perlu bijak mengimbangi antara lakonan, pengacaraan dan perniagaan kerana belum bersedia untuk berundur diri daripada dunia lakonan.
“Saya tidak pernah terfikir untuk berhenti berlakon sepenuhnya buat masa ini kerana ia adalah minat dan kepuasan saya.
“Cuma, saya perlu bijak mengimbangi dan memilih tawaran lakonan yang bersesuaian dengan penampilan dan status sekarang,” kongsinya.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.