Rakyat perlu memberi mandat pertama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-13 ini dengan penuh bermakna.
Anggota Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan berkata ini supaya Najib dapat meneruskan dasar transformasi beliau demi kemajuan negara dan kemakmuran hidup rakyat di negara ini.
"Tidak ada sifat pilih kasih yang diamalkan Perdana Menteri menyebabkan rakyat pelbagai kaum di negara ini merasa dihargai dan mendapat bahagian yang sama selaras dengan dasar transformasi yang diamalkan kerajaan," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan bantuan pakaian seragam sekolah kepada 50 keluarga tidak berkemampuan di Lunas, di sini petang semalam.
Gobalakrishnan yang merupakan bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kini anggota Parlimen Bebas, turut berterima kasih kepada Perdana Menteri atas usaha gigih beliau yang membolehkan rakyat pelbagai peringkat tidak tersisih daripada pembangunan negara.
Katanya beliau yakin bahawa Najib akan dapat membawa negara dan rakyat menuju ke arah kemajuan selaras dengan dasar negara yang menyasarkan pendapatan yang lebih tinggi untuk rakyatnya.
"Kita harap rakyat akan memberi mandat yang pertama kepada Perdana Menteri kini kerana mandat pada kemenangan PRU12 lalu adalah mandat yang diberi kepada perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi," katanya.
Beliau berkata sebagai seorang perdana menteri yang prihatin atas nasib rakyat, Najib mampu meneraju negara di sebalik pelbagai tohmahan yang dilemparkan pakatan pembangkang kini.
Sementara itu, Gobalakrishnan berkata beliau berhasrat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Padang Serai pada PRU13, namun kesal kerana ada pihak mempertikaikan kes mahkamahnya yang boleh membantutkan hasratnya bertanding kelak.
"Jika saya mendapat peluang saya akan tetap bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Padang Serai yang saya menangi pada PRU12 lalu kerana saya masih percaya penyokong saya masih berada bersama saya," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.