Keputusan mengetepikan sabitan serta hukuman gantung sampai mati dijatuhkan Mahkamah Tinggi terhadap Azilah, 37, dan Sirul Azhar, 42, sebelum ini dibuat sebulat suara tiga panel hakim iaitu Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.
Membaca penghakiman ringkas keputusan itu, Tengku Maimun berkata, pihaknya hanya membaca rumusan keputusan terhadap isu utama dikemukakan perayu.
Menurutnya, berhubung isu pemilikan dan kawalan bahan letupan, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi perlu membuat penemuan bagi menghubungkaitkan isu bahan letupan dengan perayu.
"Terdapat kaitan antara bahan letupan dengan si mati, oleh itu pendapat kami Hakim Mahkamah Tinggi perlu membuat penemuan bagi mengaitkan bahan letupan dengan perayu.
"Dengan tidak membuat penemuan berhubung pemilikan oleh perayu dengan bahan letupan yang digunakan dalam pembunuhan ini, Hakim Mahkamah Tinggi gagal membuat pertimbangan terhadap kaitan terputus ini," katanya.
Berhubung alibi pembelaan Azilah, Tengku Maimun berkata, Hakim Mahkamah Tinggi tidak menyatakan dalam alasan penghakimannya beliau ada menimbangkan maklumat daripada diari stesen.
Menurutnya, maklumat itu perlu untuk cenderung menunjukkan kehadiran perayu di Bukit Aman ketika waktu kejadian, sekali gus bermakna dia tidak berada di lokasi kejadian.
"Hakim tersalah arah membuat pertimbangan terhadap diari stesen itu dan gagal membuat penemuan sama ada pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan menyatakan bahawa Azilah berada di tempat kejadian," katanya.
Berhubung isu log panggilan telefon dan ramalan liputan, Tengku Maimun berkata, mahkamah mendapati adalah satu keperluan bagi Hakim Mahkamah Tinggi memberi fokus terhadap isu ditimbulkan pembelaan berhubung bahan bukti.
"Kami mendapati keterangan tiga pegawai telekomunikasi menimbulkan isu kesahihan dan ketepatan. Hakim Mahkamah Tinggi perlu membuat penemuan sama ada terdapat gangguan atau pengubahan data.
"Sama ada kesahihan data itu boleh dipersoalkan atau sebaliknya. Bagaimanapun dalam kes ini ia gagal dilakukan. Pada pendapat kami, kegagalan tersalah arah ini serius memandangkan bukti dikemukakan itu tidak selamat digunakan," katanya.
Tengku Maimun berkata, satu lagi kekhilafan dikesan pihaknya ialah kegagalan pihak pendakwaan memanggil Deputi Superintendan Musa Safri atau menawarkan saksi ini untuk disoal balas.
Menurutnya, keterangan Musa adalah perlu bagi merungkai kejadian yang menjadi dasar dalam kes pendakwaan ini.
Sementara itu berhubung maklumat membawa kepada penemuan, beliau berkata, Hakim Mahkamah Tinggi gagal dan tidak memeriksa berhubung percanggahan atau tidak konsisten di dalam bukti pendakwaan.
"Beliau gagal memeriksa kredibiliti saksi pendakwaan dan tidak memberi fokus sama ada perayu Menimbulkan keraguan munasabah terhadap ketepatan keterangan mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan 1950," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.