MCA menerima dan menghormati keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menolak permohonan penganjuran 'Better Beer Festival 2017’ atas faktor keselamatan.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pada mulanya agak sukar baginya menerima keputusan terbabit, dan membangkitkan isu berkenaan dalam mesyuarat Kabinet hari ini untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
"Saya dimaklumkan keputusan itu dibuat atas faktor keselamatan seperti yang dinasihatkan oleh pihak polis, jadi kita menerima pandangan daripada polis untuk memastikan apa sahaja program perlu mengambil kira faktor keselamatan.
"Saya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dan berpendapat pandangan itu perlu dihormati kerana pihak polis dan berkuasa yang perlu memastikan keselamatan semua orang," katanya ketika ditemui media di lobi Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, hari ini.
Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata, beliau akur kerana sebagai parti dan kerajaan yang bertanggungjawab, keselamatan orang awam sentiasa menjadi keutamaan.
Beliau bagaimanapun kesal dengan kenyataan yang dibuat DAP terhadap isu berkenaan yang memberi gambaran seolah-olah kerajaan mengharamkan rakyatnya minum minuman keras.
"Mengikut Perlembagaan, kita ada hak, tak ada masalah, bebas minum atau makan apa sahaja, namun dalam penganjuran festival seperti ini kita harus menitikberatkan soal keselamatan orang awam terlebih dahulu.
"Jadi, kita seharusnya menghormati keputusan dan nasihat yang diberikan pihak berkuasa dan polis," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan DBKL menolak permohonan penganjuran 'Better Beer Festival 2017’ yang sepatutnya diadakan di sebuah pusat beli-belah pada 6 hingga 7 Oktober ini.
DBKL dalam kenyataan dipetik berkata, pihaknya menerima permohonan daripada pihak penganjur pada 28 Ogos untuk menjalankan aktiviti di Damansara dari 2 petang hingga 11 malam.
Bagaimanapun, DBKL membuat keputusan menolak permohonan penganjuran aktiviti berkenaan pada tarikh, masa dan tempat dinyatakan.
Jgn layan golongan yg suka mabuk
BalasPadam