SEHARI selepas kemenangannya di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011), Tasha Shila selaku penerima gelaran Artis Wanita Baru Popular, dikatakan mengusung trofi kemenangannya di pusat membeli-belah terkemuka, Pavilion, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Perihal itu menjadi gosip yang hangat dan bintang yang dilahirkan dengan nama Natasha Sheila Abdul Razak, 25, itu mendapat kritikan daripada ramai pihak lantas tampil menjelaskan keadaan sebenar.
Sesudah memperjelaskan hal itu dalam sebuah akhbar baru-baru ini, gosip usung dan tayang trofi dianggap sudah berakhir baginya. Pun begitu, saat ingin dia melupakan, gosip itu kembali hebat diperkatakan.
Berlaku di pusat membeli-belah yang sama, namun pada hari yang berbeza dan kali ini Tasha dikatakan menayangkan trofinya sejurus menghadiri sidang media penyampaian hadiah ABPBH2011, baru-baru ini.
“Cerita itu memang mengarut! Saya tidak ke Pavilion sebaik sidang media majlis penyampaian hadiah itu. Apa motif orang yang buat cerita sebegini? Saya pun tak tahu.
“Kalau sehari selepas ABPBH2011 berlangsung, saya tidak menafikan ada ke sana. Saya ke sana untuk bertemu sahabat baik saya, Reza, yang bekerja di butik Prada.
“Dia mahu melihat trofi kemenangan saya dan saya ke sana untuk menunaikan permintaannya sekali gus berkongsi kemenangan itu.
"Mungkin orang luar yang tidak tahu hujung pangkal kunjungan itu tersalah erti dengan apa yang mereka lihat lantas membuat spekulasi.
“Ini adalah yang terakhir saya menjawab isu ini dan enggan mengulasnya lagi di masa akan datang kerana gosip yang tersebar ini amat memalukan!” katanya.
Ditemui di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Isnin lalu, pelakon berbintang Aquarius itu terbabit dalam penggambaran klip video single kedua, AwanBand berjudul Lintasan Bintang.
Agak mengejutkan apabila Tasha menerima tawaran itu kerana jarang artis yang sudah popular mahu bekerjasama dengan sebuah band yang masih mencari tempat dalam industri.
Ringkas saja pendirian Tasha, seawal kemunculannya dia pun bukan siapa-siapa, malah dia sendiri gembira dapat berlakon di samping nama-nama besar dan pelakon senior kerana tempias kehebatan sebuah drama atau telefilem turut dirasainya.
“Kalau benar populariti Tasha yang sedikit ini boleh dikongsi dengan AwanBand dan membantu menjadikan klip video ini sesuatu yang berjaya, itu kan satu kerjasama yang baik dan amalan sihat yang patut dipupuk oleh semua penggiat dalam industri hiburan.
“Saya percaya sikap saling membantu antara satu sama lain dan mendukung karier masing-masing, industri hiburan akan lebih maju dan dihormati,” katanya pernah muncul dalam klip video, Shahir iaitu Luar Biasa.
lawa sggh kaw... nie yee... rasa cam nak cubit2 pp.... hahaha
BalasPadam