KEJELITAAN pelakon baru sedang mencipta nama, Nur Anzalna Md Nasir, 24, cepat mencuri tumpuan. Buktinya, sebaik terjun ke dunia seni tahun lalu, tawaran diterima untuk berlakon filem mahupun drama tidak pernah putus.
Dalam tempoh setahun, Anzalna sudah membintangi dua filem iaitu Sepah The Movie dan Taikun manakala drama dibintangi, Suria Di Cardoba, Ramadan Terakhir dan Gemersik Kalbu berjaya mengangkat namanya sebagai antara pendatang baru berbakat. Ternyata keadaan ini membuatkan Anzalna bimbang dan takut.
Anzalna yang juga finalis pertandingan Dewi Remaja bersama Izara Aishah dan Neelofa berkata, dia sebenarnya mahu menimba ilmu terlebih dulu dan tidak pernah terbayang akan diberikan kepercayaan membintangi filem mahupun drama dengan memegang watak utama.
“Sekiranya penonton perasan, pada awal pembabitan saya dalam dunia lakonan, saya lebih banyak memegang watak pembantu.
"Bagaimanapun populariti drama Ramadan Terakhir mengubah perjalanan kerjaya seni saya. Selain drama, saya juga ditawarkan membintangi filem.
“Tidak dinafikan, sewaktu menerima tawaran berlakon filem, saya sangsi dengan kemampuan diri. Takut pun ada. Maklumlah, cabaran untuk berlakon filem lebih besar.
"Namun kakitangan Produksi PTV yang menerbitkan Sepah The Movie meyakinkan saya. Kata mereka, sebaik-sebaiknya saya bermula dengan watak lebih ringan,” katanya.
Cabaran paling besar yang dilalui Anzalna sewaktu dia menjayakan filem Taikun diterbitkan Worldwide Far East Berhad (WFEB) dan diarahkan Izan Hailmey Mokhtar.
Katanya, pertama kali berada di set dan dikelilingi bintang besar seperti Aaron Aziz, Remy Ishak, Bront Palarae dan Adam Corrie membuatkan dia kecut perut.
“Sebagai pendatang baru, apabila ditawarkan berlakon di samping semua aktor hebat sudah tentu membuatkan saya rasa besar hati. Tanpa fikir panjang, saya terus mengatakan iya.
“Saya berlakon Taikun bukan kerana mahu berada di samping mereka sekali gus menumpang populariti. Perkara itu langsung tidak terlintas di fikiran sebaliknya dalam hati saya berkata, ini peluang terbaik untuk orang baru seperti saya menimba ilmu,” katanya.
Kejap lagi ter'anzal' la dia.. hehehehe
BalasPadam