PERASAAN rindu setebal salji putih yang terbentuk meliputi Tasik Orion pada musim sejuk. Manakala hari dilalui pula ibarat mengira helaian daun kering berguguran pada musim panas di Forest Hill.
Selepas hampir lima bulan di Michigan, Amerika Syarikat (AS), Juliana Sophie Johari Evans akhirnya kembali ke tanah air untuk mengubat rindu terpendam.
Juliana yang popular menerusi filem Hantu Bonceng, baru kembali dua minggu lalu sempena cuti musim panas. Katanya, sejak kembali, dia langsung tidak sentuh makanan Barat. Yang paling diimpikannya ialah teh ais, nasi, sambal sotong dan paru goreng.
“Selama seminggu selepas balik, saya makan nasi lemak. Makan dua kali sehari pun tak apa! Di sana, rakan serumah selalu masak, saya juga kadangkala masak tapi yang ringkas saja. Di sana ada juga restoran Malaysia dan kalau nak masak ayam, ada kedai menjual ayam halal, cuma harganya mahal,” katanya ketawa.
Awal Januari lalu, aktres yang mesra disapa Jue terbang ke AS untuk menyambung pelajaran dalam Seni Filem, Video dan Media (minor Teater) di Universiti Western Michigan, Michigan.
Kepulangan Jue ke tanah air buat pertama kali bukan sekadar bercuti kosong, tapi penuh dengan agenda tersendiri.
Gadis berdarah campuran Melayu Inggeris ini bagai melunas dendam. Sejak pulang, ada saja aktiviti dilakukan untuk memenuhi jadual hariannya dengan sesi fotografi untuk surat khabar dan majalah, penggambaran drama, filem dan bertemu teman.
Akuinya, di AS dia tidak mempunyai ramai teman rapat kecuali teman serumah. Pelajar Malaysia ada tapi tidak ramai, kurang lebih 100 orang saja.
“Sekali sekala kami mengadakan pertemuan dan majlis makan bersama beberapa masyarakat Malaysia yang sudah bermastautin di sana.
“Tempat saya tinggal ialah pekan kecil yang majoriti didiami pelajar universiti dan masyarakat tempatan. Ia sangat tenang dan jauh daripada kehidupan bandar. Bandar raya paling dekat pun San Francisco, lebih kurang dua jam perjalanan.
“Pelajaran saya juga sangat ok! Syukur keputusan dalam peperiksaan dan ujian juga lebih memberangsangkan. Mungkin sebab saya dapat fokus dalam pelajaran apabila berada di sana berbanding di sini.
“Ketika di kolej sebelum ini, saya terpaksa mengambil masa tiga tahun untuk menghabiskan pengajian sebab sibuk dengan penggambaran dan acara hiburan,” jelas mantan pelajar jurusan Komunikasi Massa di Kolej Sunway ini.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.