SIFAT sopan dan lemah lembutnya masih menebal. Namun dalam banyak sifat yang ditonjolkan oleh pelakon Diana Danielle sebelum ini, hal yang paling mengesankan, dia kini tampak lebih matang dan tahu diri. Diana yang mesra disapa sebagai D, telah jauh menanggalkan 'pakaian' ala keanak-anakkan.
Dia tersenyum sewaktu ditegur tentang perubahan sifat itu sebelum menjawab: "Setiap orang mempunyai fasa kehidupan tersendiri dan saya telah melalui fasa tersebut sebelum ini.
"Saya akui, jika bercakap dari segi kematangan dalam bekerja, saya mula menjadi matang selepas terbabit dalam filem Magika.
"Selepas terlibat dengan filem tersebut, saya mahu keluar daripada zon selesa dengan memilih kerja yang lebih mencabar..
"Ia termasuk mengambil kira soal persekitaran dan pergaulan. Semua itu telah membuat saya menjadi matang," ujar D.
Tambah D, dia juga sudah tidak mengejar populariti. Atas alasan tersebut juga, dia tidak kisah jika media massa tidak memainkan cerita tentangnya.
Ujarnya, selama beberapa tahun menjadi anak seni, dia juga belajar untuk tidak perlu menonjol diri tanpa sebab atau bercakap tentang perkara yang sama berulang-ulang hanya kerana takut dilupakan khalayak.
Katanya: "Saya sedar saya bukan makin muda. Jadi, saya kena kerja keras dan fokus terhadap apa yang saya lakukan. Sebab itu, saya ambil tawaran seperti berlakon dalam filem Anu Dalam Botol.
"Orang kata kenapa saya perlu terbabit dengan filem kontroversi, tapi saya anggap saya terbabit dalam filem tersebut bukan sebab komersial, tetapi kerana saya mahu mencuba satu karakter yang serius, yang boleh menjadikan saya pelakon lebih baik daripada sebelum ini."
Sebenarnya, gadis berusia 20 tahun itu telah mula terbabit dengan dunia seni seawal usia sembilan tahun sebelum benar-benar tersangkut sebagai pelakon pada usia 14 tahun.
Selama tiga tahun pertama menjadi pelakon, dia mengaku tidak memilih atau menolak watak yang datang. Semua diambil sebagai satu proses pembelajaran, malah akuinya, pada waktu itu juga, ia dianggap sebagai zon selesa.
Namun kini, setiap tawaran yang datang dinilai dengan baik. Dia memilih untuk menjadi selektif bagi meningkatkan kredibiliti selain memberi fokus terhadap filem berbanding drama.
Justeru, saat dia muncul dengan naskhah terkini, Jiwa Taiko yang bakal ditayangkan pada 14 Jun ini, D menampilkan sisi lain terhadap bakat lakonannya.
Mengulas tentang watak Trisya, D memberitahu: "Saya menjalani latihan seni mempertahankan diri selama sebulan, yang saya anggap tidak cukup bagi saya yang tidak mempunyai asas langsung.
"Tetapi, ia tetap satu pengalaman yang bagus buat saya.Memegang watak Trisya, D banyak bermain dengan emosi sehingga lakonan intimnya dengan Remy Ishak sebagai Firman menjadi perbualan hangat selain harus arif tentang seni mempertahankan diri iaitu bersilat.
"Tentang aksi lakonan dengan Remy, saya rasa jika orang yang memahami tentang teknik kamera, mereka akan tahu bahawa babak cium saya dengan Remy bukan dilakukan betul-betul. Ia hanya permainan kamera," ujar D yang mengaku lebih senang melakonkan watak romantik berbanding watak aksi.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.