Aktres jelita, Rozita yang telah berlakon puluhan drama dan beberapa buah filem menjelaskan, meskipun kariernya dilimpahi glamor tetapi bekerja sebagai pelakon bukanlah mudah.
Isu yang dipertikaikan Rozita adalah waktu kerja yang terlalu panjang di lokasi penggambaran bukan sahaja untuk pelakon tetapi termasuk juga kru belakang tabir.
Kata aktres yang berusia 38 tahun itu, biasanya pelakon akan bekerja lebih daripada 12 jam sehari, malah mereka tidak menikmati cuti umum kecuali pada Hari Raya Aidilfitri dan juga Hari Raya Aidiladha.
"Kebiasaannya, saya bekerja sehingga 15 hingga 19 jam sehari di lokasi penggambaran dan hanya diberi rehat lima jam sahaja. Apabila pelakon penat, mereka tidak boleh memberi mutu lakonan sebaik mungkin.
"Sebab itu kalau boleh tetapkan waktu kerja paling maksimum untuk pelakon dan kru belakang tabir. Contohnya sehari paling lama waktu kerja adalah 12 jam, maka selebihnya kerja lebih waktu atau apa sahaja opsyen yang boleh diberikan kepada kami," ujarnya.
Bagaimanapun kata ibu kepada dua orang anak itu lagi, dia juga memahami dilema yang dihadapi penerbit drama kerana kos penerbitan sesebuah drama meningkat setiap tahun tetapi bayaran yang diberikan oleh pihak stesen televisyen kekal sama, jika ada penambahan sekalipun jumlahnya sangat rendah.
"Penerbit pun menghadapi masalah, jika ditetapkan waktu kerja sehari lapan jam sahaja sebagai contoh, mereka terpaksa menambah hari penggambaran secara tidak langsung meningkat kos, penerbit akan rugi. Jadi, saya tidak tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah yang dihadapi," balasnya.
Selain soal waktu kerja, pelakon drama Kiah Pekasam itu juga mempersoalkan kebajikan dan keselamatan pelakon di set penggambaran.
"Setiap penerbit sepatutnya mengambil insurans setiap kali penggambaran, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini kurang sikit beban pelakon dan kru.
"Ini tidak, kalau sakit walaupun saya beri surat cuti sakit, tidak laku, dikoyakkan sahaja depan mata saya. Kaki bengkak tidak boleh berjalan dikerah juga bekerja kerana sudah tandatangan kontrak.
"Surat yang laku hanyalah surat kematian pelakon itu sendiri agaknya, barulah kami dibenar tidak bekerja," sindirnya.
Tegasnya lagi, jika pihak penerbit memberikan kontrak sebelum penggambaran bermula, pihak pelakon juga harus mempunyai kontrak yang diberi kepada penerbit supaya melindungi hak mereka.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.