APABILA seseorang artis itu semakin mencipta nama, segala tindak tanduknya mula menjadi perhatian umum. Perkara sama turut berlaku kepada bintang yang semakin menyinar dalam dunia seni, Noor Neelofa Mohd Noor atau Lofa, 22 tahun.
Tidak sampai dua tahun pembabitannya dalam dunia lakonan dan pengacaraan, Lofa berjaya menempatkan diri sebaris dengan bintang popular masa kini.
Pendedahan diterima juga semakin meluas. Wajahnya saban minggu menghiasi televisyen, sama ada mengacara Nona mahupun membintangi telefilem.
Seiring populariti diraih, Lofa kini mula berasa bahang menjadi artis dikenali.
Segala perilaku dan penampilan mendapat perhatian hinggakan perkara lampau dan sejarah hidupnya dikorek dan didedahkan untuk dijadikan bahan bualan masyarakat.
Penampilannya yang hanya berkemban sewaktu menjayakan klip video kumpulan bernaung di bawah syarikat rakaman KRU Records lebih empat tahun lalu, dipaparkan beberapa laman blog hiburan hingga menjadi isu hangat baru-baru ini.
Sudah tentu ramai mengecam dan meluahkan rasa kurang senang terhadap gaya ditampilkan.
Bukan itu saja, malah sikapnya yang suka ‘cakap lepas’ dengan niat mahu jujur bagi memperbaiki sesuatu perkara turut disalah erti.
Memburukkan keadaan apabila ada pihak menggunakan kenyataan diberikan sebagai bahan sensasi sehingga mencetus kontroversi dan rasa tidak selesa sesetengah pihak.
Berbicara mengenai beberapa isu yang dikaitkan dengannya baru-baru ini, Lofa menerimanya dengan tenang dan menjelaskan, ia sengaja dibangkitkan dengan niat dijadikan modal ‘cari makan’ oleh sesetengah pihak. Perkara itu secara tidak langsung mewujudkan kontroversi membabitkannya.
Gambar yang tersebar itu sudah lama. Malah sebelum saya menyertai pertandingan Dewi Remaja lagi. Saya tidak ambil pusing sangat kerana ia disiarkan pihak tertentu dengan niat untuk cari makan.
“Penulis blog hiburan yang menggunakan gambar itu mengharapkan apabila ia disiarkan, jumlah pembaca laman web mereka akan meningkat.
“Apapun, saya melihat isu ini daripada sudut positif. Ia banyak mengajar saya supaya lebih berhati-hati apabila tampil di depan umum,” katanya.
Lofa tidak menafikan, kemungkinan gambar berkemban itu bukan yang pertama dan selepas ini banyak lagi akan digunakan sesetengah pihak untuk meraih keuntungan.
Tambahan pula sebelum ini, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu lebih dikenali sebagai model. Sepanjang tempoh itu banyak kerja-kerja peragaan dilakukan, termasuk menggayakan pakaian yang dianggap sesetengah pihak terlalu seksi.
“Tidak dinafikan pada zaman remaja, saya suka bergaya dan memakai pakaian yang selesa bagi saya. Begitupun, apabila meningkat dewasa, manusia berubah mengikut peredaran masa dan usia.
“Bergelar artis dikenali, saya harus bertindak secara rasional kerana sedar kini saya menjadi perhatian umum. Saya harus menghormati perkara itu dan mula tukar penampilan.
“Waktu sama, saya turut menerima banyak komen daripada peminat. Sebagai contoh, ada yang menegur dengan berkata ‘awak tutup sikit, sebab kita suka awak’.
“Mereka menegur dengan baik dan saya menghargai teguran seperti itu. Saya ambil teguran mereka dan cuba ubah, namun untuk melakukan perubahan sudah tentu mengambil masa,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.