Hakikat dan realitinya, itulah Nora Danish Mohd Hanif jika tiada status selebriti padanya. Apa saja yang dilakukan, ada saja yang datang bercerita.
Orangnya bersahaja, ringkas dan gemar mengukir senyum walhal mengenali gerangan si pemilik wajah kacukan Melayu-Myanmar sebagai pejuang seni, tidak sesaat dirinya lengang daripada dihimpit kontroversi.
Usik Nora membuka bicara, itulah harga yang perlu dibayar dan sejak awal lagi pembabitannya dulu, soal gosip adalah rencah hidup yang akhirnya memberikannya lebih semangat untuk berdiri.
“Jika ada yang menegur, peduli dan tidak henti bercerita, maknanya diri kita diberi perhatian. Mungkin mereka sayangkan saya, kerana itu mereka mengambil berat,” katanya berseloroh.
Bagai pepatah yang tidak pernah lapuk, jika takut dilambung ombak, usah bermimpi berumah di tepi pantai.
Pegangan yang sama Nora simpan kerana baginya, segala macam yang pernah terpalit pada nama dan reputasinya adalah kunci kepada ketabahan yang terus mematangkan dirinya lagi.
“Memang tidak pernah rasanya nama saya senyap dan sepi daripada kontroversi. Sejak muncul dalam drama siri Puteri lagi, ramai sudah memberi perhatian dan hingga kini, apa saja yang saya lakukan, pasti akan lekas menerima reaksi terutamanya peminat yang sememangnya ingin memastikan segala-galanya sempurna buat saya,” katanya lagi.
Kronologi percaturan hidup pelakon jelita yang pernah membintangi filem Gila-Gila Pengantin Popular, Senario: Pemburu Emas Yamashita, Jangan Pandang Belakang Congkak 2 dan Cuti-Cuti Cinta usah lagi diceritakan.
Sebaliknya apa yang lebih diberikan fokus perjalanannya hari ini. Nora pelakon yang disegani dan makin ramai memuji lakonannya.
Lihat saja emosi Dhia dalam Tentang Dhia, wanita kental kelahiran Kuala Terengganu ini kemas menterjemahkan lakonannya.
Drama Ariana Mikhail seterusnya membuatkan pelakon berusia 30 tahun ini mengukuhkan lagi empayarnya. Namun seperkara yang mustahil disangkal, ada saja gosip berterbangan selari dengan pujian yang diterima.
Terbaru, keserasian yang ada antaranya dengan pelakon Adi Putra menerusi drama Tentang Dhia dan filem Aku Terima Nikahnya pula dipersoalkan banyak pihak.
Belum sempat menjawab persoalan itu, namanya terus dikaitkan dengan isu berpakaian seksi untuk fotografi sebuah akhbar.
Bukan satu dua yang mencoret kritikan sebaliknya beratus-ratus komen diterima melalui laman sosial twitter, blog dan portal hiburan.
Kata Nora yang menyifatkan semuanya adalah permainan dunia seni yang sudah lali ditepis, itulah keistimewaan dirinya.
nak tiru rozita che wan ker???
BalasPadam