KUALA LUMPUR: Taman Rimba Bukit Kerinchi, Pantai Dalam, di sini, yang dibuka, baru-baru ini, kini menjadi lokasi kaki ponteng pelajar dari sekolah berhampiran untuk melepak.
Lokasinya yang terpencil dan jauh dari kesibukan jalan utama menjadikan kawasan berkenaan sunyi dan ini menyebabkan segelintir pelajar sekolah menengah dan rendah mengambil kesempatan ke situ.
Tinjauan Metroplus pada jam 11 pagi di taman rimba itu baru-baru ini, mendapati terdapat sekumpulan remaja mandi-manda dan berbual-bual sambil merokok di pondok di situ.
Ketika ditanya mereka mendakwa berusia 11 hingga 17 tahun dan semuanya berasal dari perumahan berhampiran taman rekreasi berkenaan.
Menurut mereka, ibu bapa masing-masing tidak mengetahui apa yang dilakukan kerana bekerja dan pemerhatian juga mendapati pada jam 1 tengah hari kumpulan remaja itu bergerak pulang sama seperti waktu tamat persekolahan biasa.
Peniaga, Muhd Saiful Adnan, 20, berkata, walaupun baru pertama kali ke taman rimba itu, namun dia agak kesal apabila mendapati kawasan itu menjadi lokasi kaki ponteng pelajar sekolah.
Katanya, lokasi yang jauh daripada kawasan perumahan selain tiada kawalan ketat di taman itu menyebabkan mereka bebas keluar dan masuk ke pusat rekreasi itu.
“Sekiranya tiada pengawasan di kawasan itu, kami bimbang pelbagai jenayah lain dilakukan remaja kerana tiada siapa sedar perbuatan mereka kerana ia jauh daripada pandangan masyarakat.
“Malah, saya dapati sudah banyak kerosakan dilakukan di tandas selain terdapat kecurian seperti kipas,” katanya.
Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu bertindak lebih tegas menangani perkara ini bagi memastikan taman rimba itu terjaga dan memberi keselesaan kepada pengunjung.
Bagi Syed Ahmad Syuhaidi, 24, dia berkata, selain kawasan itu menjadi ‘port’ lepak pelajar yang ponteng, taman itu perlu diselenggara lebih baik bagi menarik orang ramai untuk berkunjung.
“Macam mana orang ramai hendak tahu kewujudan taman rimba ini kerana tanda lokasi tidak kelihatan, malah sepanjang laluan dari jalan utama pula dipenuhi sampah-sarap selain tiada bekalan air dan elektrik.
“Ramai kawan-kawan saya tidak tahu mengenai taman ini dan mereka terkejut sebaik mengetahui lokasinya terletak di Pantai Dalam,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.