SIAPA yang tak kenal dengan pelakon muda berbakat besar ini selepas mencipta nama menerusi sebuah drama bersiri.
Kerana keberkesanan lakonannya, SS sendiri menjadi peminatnya. Namanya semakin memuncak apabila bergandingan dengan pelakon wanita popular menerusi siri drama lain.
Cerita manis itu bagaikan berakhir apabila timbul kisah terbaru yang singgah di meja SS, khabarnya pelakon itu mula naik tocang dan tunjuk belang dengan pihak produksi. Berita ini disampaikan beberapa orang krew yang terbabit dalam produksi berkenaan.
Menurut ceritanya, dia sudah pandai meminta-minta itu dan ini. Berlagak diva, datang set ikut suka hati sehinggakan menyusahkan pelakon lain.
Bila tengah penggambaran ditanya pula kepada krew bila habis penggambaran, dia minta dilepaskan awal walaupun babak membabitkannya belum selesai.
Tambah krew itu, ada satu ketika pelakon tadi menyuruh jurugegas produksi mengambil dia di rumah seorang teman juga artis, tiba waktu yang dijanjikan, tak muncul batang hidung.
Kemudian, kononnya dia menghubungi jurugegas itu dan meminta mereka berpatah balik dan mengambilnya di rumahnya di Ampang.
Bila tamat sesi penggambaran minta pula krew menghantar barang-barang dia ke rumah, sebab dia ada hal dengan kawan perlu pergi ke tempat lain. Amboi, hebat sangat ke? Dia ingat krew ini orang suruhan dia ke boleh minta itu dan ini?
Lebih menyedihkan apabila ada babak yang membabitkan seorang pelakon veteran yang terpaksa menunggu pelakon itu selama dua jam!
Pelakon veteran itu sudahlah mengidap parkinson. Dek gara-gara menunggu pelakon muda, sampaikan kejang badan pelakon senior.
Paling menyirap hati semua orang dekat produksi, pelakon ini langsung tidak ada budi bahasa atau secebis rasa bersalah atas perbuatannya untuk minta maaf sama ada kepada pelakon veteran itu mahupun krew yang menunggunya.
Hmmm...urut dada SS mendengar keluhan krew produksi ini. Susah nak percaya kerana dia yang SS kenal bukan begitu, tambah krew itu lagi, pelakon ini dulu tak sama dengan sekarang!
Nasihat krew itu pada semua produksi, kalau betul nak ambil dia berlakon, fikir-fikir 1000 kali takut menyesal di kemudian hari.
Beberapa pihak yang bekerjasama dengan pelakon tadi kebelakangan ini turut memberi respon yang sama.
Fikir SS kalau lebih daripada seorang yang bercakap pasal kerenah dia, takkan ia gosip yang direka-reka?
Bukan itu saja ada beberapa artis daripada pasukan lawan yang terbabit dalam Fear Factor Selebriti Malaysia khabarnya kurang senang dengan sikapnya yang menjengkelkan.
Sampaikan SS dengar ada satu tugasan dengan rakan sepasukannya ditegur pengacara yang terkejut dengan tindakannya cuba mendapatkan rawatan gara-gara kakinya tercedera tanpa mempedulikan teman yang sedang terkurung dalam peti.
Sejauh mana benar gosip yang bertiup kencang, haruslah nanti SS risik pihak dengan pengurusan artis itu dulu.
Mungkin mereka boleh membela dan menjawab segala tuduhan yang dilemparkan terhadap artis jagaan mereka ini. Apa lagi, jawablah?
Punyalah panjang cerita tapi subjeknya haya dibayang-bayang saja. Nyesal gak baca....
BalasPadam