PETALING JAYA: DAP dan PAS menolak cadangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya pakatan pembangkang memboikot majlis perasmian persidangan Parlimen penggal ke-13.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata parti itu tidak mempunyai rancangan untuk memboikot sidang Parlimen, manakala Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata langkah itu hanya dilihat sebagai penghinaan kepada rakyat yang memilih mereka sebagai Ahli Parlimen.
Kedua-dua pemimpin pembangkang itu berkata demikian sebagai mengulas cadangan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memboikot persidangan Parlimen sebagai membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Anwar membuat cadangan itu selepas gesaan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memboikot persidangan yang akan bermula pada 24 Jun ini.
"Pendirian kami (DAP) sama dengan pandangan (penasihat parti) Lim Kit Siang," kata Loke.
Sebelum ini Lim dipetik dalam portal berita sebagai berkata bahawa DAP tidak mempunyai rancangan untuk memboikot Parlimen.
Sementara Dr Mahfodz berkata bahawa menjadi satu kewajipan bagi mereka yang memenangi pilihan raya untuk menghadiri sesi Parlimen.
"Kita tidak perlu menghina Parlimen, kerana ia adalah serupa dengan membelakangkan rakyat," kata Dr Mahfodz yang tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Johor pada PRU yang lalu.
Dr Mahfodz, yang juga Pesuruhjaya PAS Johor berkata bahawa mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya hendaklah memfailkan petisyen di mahkamah.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.