Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang dari DAP Sabah, Hiew King Cheu mungkin meninggalkan parti itu untuk menjadi wakil bebas.
Hiew berkata, beliau sedang mendapatkan maklum balas daripada penyokongnya untuk melihat apakah langkah terbaik yang perlu diambil sekiranya beliau meninggalkan DAP.
"Rakyat telah menyokong saya dan sekiranya saya tidak memberi sebarang pembangunan kepada kawasan saya, maka lima tahun sehingga pilihan raya umum yang akan datang tanpa sebarang pembaharuan akan membazirkan masa dan kerugian buat rakyat," kata bekas Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu.
"Saya menerima beberapa maklum balas daripada penyokong dan kebanyakan mereka menasihatkan saya supaya keluar (parti) dan mencari alternatif untuk melakukan apa yang boleh dilakukan untuk rakyat," jelasnya.
Hiew, yang juga Penasihat DAP Sabah berkata, peluang untuk mengubah kerajaan seperti yang diharapkan sebelum pilihan raya pada 5 Mei lalu kini tidak lagi boleh berlaku.
"Lima tahun adalah tempoh yang panjang dan daripada saya tidak berbuat apa-apa dan berpendirian dalam parti sendiri, adalah lebih baik saya mempertimbangkan pilihan yang terbaik untuk rakyat," katanya, sambil menambah ia tidak semestinya bermaksud beliau perlu menyertai Barisan Nasional.
"Saya masih lagi menunggu lebih banyak maklum balas. Saya tidak tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan," katanya.
Masalah dalaman DAP Sabah mulai timbul apabila empat wakil rakyat membuat aduan kepada lembaga disiplin DAP supaya mengambil tindakan terhadap Hiew kerana menyokong Datuk Lajim Ukin - calon tiket PKR berbanding ADUN Tamparuli, Datuk Wilfred Bumburing untuk jawatan ketua pembangkang pada Jun lalu.
"Beberapa teman cuba 'membunuh' saya dari dalam, tetapi tidak mengapa kerana dengan pengalaman dan ilmu yang lama terbabit dalam politik, saya pasti saya dapat melakukan yang lebih baik untuk pengundi sekiranya saya benar-benar memutuskan untuk menjadi wakil bebas," kata Hiew.
"Jika saya boleh menerima tekanan daripada rakan-rakan saya sendiri, jadi takkan apa-apa sekiranya saya mungkin berhadapan daripada parti," tambahnya.
Hiew turut menyifatkan sesetengah anggota DAP tidak hormat dan tidak bersyukur kerana melayannya seperti apa yang dirasainya sekarang.
Pada pilihan raya umum baru-baru ini, DAP memenangi empat kerusi DUN, PKR tujuh kerusi manakala Parti Bersatu Sabah menang satu kerusi, dan 48 kerusi dimenangi Barisan Nasional.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.