Pejam celik, pejam celik, tarikh keramat 31 Ogos itu datang lagi. Bukan sahaja untuk diraikan, tanggal itu turut mengingatkan kita mengenai keperitan hidup zaman penjajahan.
Pun begitu, setiap individu mempunyai cara yang tersendiri dan berbeza dalam meraikan sambutan Hari Kemerdekaan.
Mungkin pada dasarnya, cara sambutan kini tidak semeriah dulu, namun bagi penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 5 (AF5) ini, bahang sambutan 31 Ogos masih dekat di hati.
Menurut Heliza atau nama sebenarnya, Nur Heliza Helmi, 27, pada setiap tahun, dia sekeluarga akan meraikan tanggal keramat itu secara lebih bermakna.
"Keluarga saya memang bersemangat patriotik lebih-lebih lagi ayah saya. Kami memang dididik dari kecil untuk meraikan sambutan itu.
"Malah, setiap kali sambutan, kami akan memasang bendera di rumah, kereta dan mengagihkan kepada saudara mara serta rakan taulan.
"Setiap tahun, kami akan merasai suasana itu. Dengan cara inilah, semangat dan rasa cintakan negara akan terus kukuh di hati," katanya yang pernah menjayakan persembahan sempena sambutan kemerdekaan di Dataran Bandaraya Tawau.
Ditanya mengenai cara sambutan kemerdekaan masyarakat kini, Heliza tidak menafikan ianya berubah mengikut peredaran zaman.
Katanya, walaupun dengan cara yang berbeza dan lebih moden, ia tidak menjadi satu masalah asalkan semangat cintakan negara itu tetap utuh.
"Mungkin cara sambutan dah berubah kerana zaman dahulu, tidak semua orang memiliki televisyen untuk menonton di rumah.
"Kini seiring dengan peredaran zaman, ada yang lebih selesa menonton siaran istimewa di televisyen daripada menghadiri sambutan di luar.
"Namun, saya percaya, setiap orang memiliki cara tersendiri untuk menyambut tanggal bersejarah itu.
"Saya tertarik dengan cara sambutan yang bakal diadakan di Masjid KLCC pada malam ini. Walaupun tiada teriakan merdeka, namun majlis itu menyusun program Qiamullail.
"Walaupun kita sudah 56 tahun merdeka, namun kita tetap memerlukan bantuan dari ALLAH SWT untuk menjaga Malaysia daripada sebarang ancaman luar yang kita sendiri tidak tahu. Malah, kita harus sentiasa bersyukur dengan kurniaan-Nya," kata pelakon filem, Syurga Cinta ini.
Ps: Itu cara Heliza sambut Hari Kemerdekaan. Cara Si Ostazah Pening tu pulak? Klik kat sini!!!
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.