Gelora pemilihan Umno tahun ini terus terasa bahangnya ke segenap peringkat. Di Pahang paling hangat diperkatakan ialah nasib dan masa depan politik bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.
Ini kerana beliau yang menyandang kerusi Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh, bakal bertembung dengan seorang ahli jawatankuasa Umno paling berpengaruh di sini iaitu Datuk Akbar VV Abu kali ini.
Sebelum ini sudah terdengar desas-desus mengatakan terdapat usaha ‘orang-orang’ Sharkar cuba menyekat Saifuddin daripada melangkah ke hieraki parti yang lebih tinggi.
Saifuddin bertanding pertama kali pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan menang sebagai Ahli Parlimen Temerloh. Bintangnya cerah apabila terus dilantik sebagai timbalan menteri. Kemudian menang pula jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, pada pemilihan 2009.
Namun kekalahan Saifuddin pada PRU13 kepada calon PAS, Nasruddin Hassan sekali gus gagal mempertahankan kerusi Parlimen Temerloh, dilihat seolah-olah menjadi isyarat untuk melenyapkan kerjaya politik bekas Pengerusi Majlis Belia Malaysia (MBM) itu.
Dari segi keperibadian, Saifuddin kelihatan amat disenangi penduduk Temerloh. Apatah lagi beliau juga mudah mesra dengan pemimpin Pakatan Rakyat setempat.
Namun beberapa kenyataan Saifuddin ada kalanya dianggap kontroversi oleh Umno kerana dilihat senada dengan pembangkang.
Kesempatan ini telah dieksplotasi oleh kalangan Umno Temerloh untuk memburukkan beliau. Kerana tidak mudah bagi orang Umno untuk menerima seseorang yang berfikiran terbuka.
Di atas kertas memang kelihatannya Saifuddin yang juga tidak menghadapi masalah untuk mempertahankan jawatannya namun kelebihan Akbar pula ialah beliau menetap di Temerloh dan mempunyai hubungan yang rapat dengan perwakilan-perwakilan daripada Umno cawangan sedangkan Saifudin walaupun berasal dari Temerloh, tetapi menetap di Kuala Lumpur.
Bagi veteran Umno Alang Ahmad, beliau menjangkakan Akbar yang akan menang dalam pertandingan merebut jawatan nombor dua itu.
“Pendapat saya Akbar akan menang kerana beliau duduk di Temerloh iaitu kerap mendampingi rakyat dan berpengaruh di kalangan perwakilan Umno Cawangan. Popularitinya lebih berbanding Saifuddin.
“Jika ini benar-benar jadi kenyataan, karier politik Saifuddin mungkin lenyap. Kecuali (Datuk Seri) Najib sendiri turun bertemu Umno Bahagian Temerloh dan mengisytiharkan masih mahukan Saifudin, kerana ketokohannya di peringkat pusat,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.