Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata tidak ada sebab Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 untuk dipinda sebagaimana dicadangkan DAP.
"Enakmen ini tidak harus dilihat dalam bentuk emosi dan perlu dilihat dari sudut positif iaitu untuk memelihara agama, keharmonian dan kerukunan masyarakat berbilang kaum negara ini," katanya ketika mengulas cadangan itu hari ini.
Jamil Khir berkata enakmen tersebut diwujudkan seiring dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.
Oleh itu, katanya, tidak ada sebab kerajaan negeri meminda enakmen tersebut.
Perkara itu tidak boleh dilihat dari sudut emosi semata-mata oleh masyarakat bukan Islam, yang boleh menimbulkan kemarahan di kalangan orang Islam, katanya kepada pemberita di sini.
Menurut laporan, Adun Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama), Rajiv Rishyakaran (DAP-Bukit Gasing ) dan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) akan mengemukakan cadangan pindaan itu dalam sidang Dewan Negeri Selangor (Dun) akan datang.
Butir-butir pindaan yang dicadangkan tidak dinyatakan.
Cadangan itu dibuat susulan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) merampas sebanyak 351 naskah Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia di Damansara Khamis lepas.
Jamil Khir berkata pihak tertentu tidak perlu mengeruhkan keadaan sebaliknya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang menghalang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.
Terdahulu, Jamil Khir menyampaikan sumbangan kewangan sebanyak RM20,000 kepada 200 ibu tunggal dalam Parlimen Jerai sebagai bantuan persekolahan anak-anak mereka.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.