Keputusan Umno menarik balik saman terhadap Naib Presiden PKR, Tian Chua, menggambarkan parti itu sebagai lekeh dan hanya mencari publisiti menjelang pilihan raya, kata akhbar milik parti itu, Utusan Malaysia.
Penolong pengarangnya, Ku Seman Ku Hussain berkata tindakan Umno itu bukan sahaja menggambarkan parti itu enggan meneruskan proses mahkamah tetapi tidak menjaga sensitiviti waris mangsa pencerobohan Lahad Datu.
“Kalau kalah sekali pun, Umno tetap menang di mata rakyat tetapi bila belum pun masuk berlawan telah 'diselesaikan' di tepi gelanggang, apa ceritanya? Lekeh sangatlah. Adakah selepas pilihan raya umum berlalu maka saman terhadap Tian Chua sudah tidak bernilai tinggi di pasaran politik untuk meraih sokongan rakyat?
“Adakah harga nyawa perajurit, maruah negara dan keselamatan rakyat boleh ditukar dengan permohonan maaf oleh Tian Chua? Tambahan pula ia dibuat bukan secara rasmi di depan umum,” katanya dalam Mingguan Malaysia hari ini.
Kes saman fitnah yang difailkan Umno terhadap Tian Chua dan dua individu lain berhubung penyiaran artikel pencerobohan di Lahad Datu kononnya satu sandiwara Umno telah diselesaikan di luar mahkamah pada Isnin, selepas kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan tuntutan saman berdasarkan terma yang dipersetujui.
Penasihat Undang-Undang Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata, penarikan balik kedua-dua saman tersebut bukanlah bermaksud Umno tidak serius terhadap pandangan rakyat dan tidak tegas dalam fitnah yang dibuat pihak lawan.
Menurut Ku Seman, apabila Umno mengambil tindakan mahkamah ke atas Tian Chua, ia melihatkan kesungguhan Umno tidak mempolitikkan isu serangan pengganas tersebut.
Katanya, rakyat telah bangkit memberi tekanan kepada Tian Chua apabila jumlah perajurit terkorban semakin meningkat dan melihat pemimpin PKR itu berpolitik melampaui batas.
“Apabila Umno menarik balik saman selepas Tian Chua meminta maaf ini adalah tindakan ‘hangat-hangat tahi ayam’. Tragedi perajurit kita dibunuh oleh pengganas Sulu di Lahad Datu mendapat simpati seluruh rakyat kecuali mereka yang ‘tidak berguna' kepada negara.
“Sepatutnya apabila Umno memulakan, biarlah hingga ke 'titisan darah terakhir' walaupun terpaksa menerima kekalahan. Alang-alang menyeluk tempayan budu, biarlah apa akan berlaku sekalipun,” katanya.
pemimpin yg cuma nak besarkan tembolok dan pangkat, dia tak peduli suara akar umbi, baik buang jer jawatan kalu musuh senang-senang diampunkan.
BalasPadam