Baru-baru ini, saya membeli buku Delima Melayu atau Malay Dilemma tulisan Tun Mahathir Bin Mohamad buat kali kedua. Kali pertama saya membeli dan membaca buku tersebut adalah dalam bahasa Inggeris. Bukan saya tidak boleh membaca dalam Bahasa Inggeris (kalau tidak boleh baca, untuk apa saya beli) tetapi ada beberapa perkara yang saya perlu penjelasan secara mendalam.
Apabila saya membaca semula buku tulisan Tun ini, saya dapati ada beberapa faktor yang sehingga hari ini memberi kesan terhadap persekitaran kita terutamanya dalam soal politik dan juga faktor-faktor kenapa UMNO kalah dalam Pilihanraya Umum Ke 12 baru-baru ini. Faktor-faktor ini perlu diberi penekanan dan perhatian agar ianya tidak berulang lagi.
Pertamanya apakah yang sebenarnya dikatakan Delima Melayu itu? Apakah masalah utama kaum Melayu di Negara Malaysia ini yang sehingga kini masih perlu dipertahankan dan perlu di perkukuhkan? Tun mengambil petikan dari seorang penulis Inggeris bernama Rupert Emerson yang menulis darihal kuasa Melayu di Kedah bertajuk 'Malaysia'. Beliau menyatakan bahawa:
"Mereka (Melayu) terpaksa berjuang dalam keadaan tersepit dan selepas setiap perjuangan, kuasa autonomi mereka hilang sedikit demi sedikit".
Hakikatnya, sehingga hari ini, Melayu dimana-mana jua sekalipun mempunyai keinginan memperkukuhkan hak-hak yang juga dianggap memang milik mereka. Tetapi mereka juga mahu bersopan santun dan bertimbang rasa terhadap tuntutan-tuntutan lain. Walau apa pun yang mereka buat dan persetujui, semuanya akan beransur-ansur terlepas dari kekuasaan mereka dimana akhirnya mereka tetap kehilangan tanah air mereka sendiri. Inilah apa yang dikatakan oleh Tun sebagai Delima Melayu.
Jika kita renungkan dan lihat semula, pada hari ini perkara tersebut memang berlaku pada kaum Melayu. Sedikit demi sedikit apa yang dulunya hak mutlak kita akan terlepas ke tangan orang lain secara kita sedar atau tidak. Bukan salah orang lain, tetapi kerana sifat kita yang suka ambil mudah. Sebagai contoh, pemilikan tanah. Hari ini, memang ramai orang Melayu yang masih menuntut tanah. Kata mereka itu hak mereka dan sepatutnya pihak kerajaan memberikannya kepada mereka. Tetapi apabila kita tanya, apa yang mereka rancang untuk lakukan dengan tanah tersebut ayat mudahnya untuk dijual sepertinana yang sudah dilakukan oleh nenek moyang kita dahulu. Asal ada masalah sahaja, jual tanah. Jual pula kepada bangsa bukan Melayu. Maka secara tidak lansung, kita hari ini kekurangan tanah. Nasib baik pihak kerajaan telah memperuntukkan Rezab Melayu yang juga sering disalah ertikan oleh masyarakat umum. Nama rezab Melayu, mereka fikir tanah itu patut diberikan kepada orang Melayu. Hakikatnya, tanah itulah yang menjamin kedudukan orang Melayu di Malaysia ini. Andaikata ianya diberikan kepada orang Melayu, akhirnya nanti ianya tetap akan dijual juga.
Perkara yang sama turut berlaku di Felda-Felda sekarang ini. Walaupun mereka tidak menjual tanah-tanah mereka, tetapi mereka mengambil pekerja-pekerja asing untuk bekerja di ladang-ladang mereka. Walaupun mereka tidak menjualnya kepada orang asing dan mereka masih mendapat keuntungan tetapi hakikatnya keuntungan yang sebenarnya itu adalah milik warga asing juga. Sepatutnya keuntungan itu harus dikongsi dengan golongan mereka, terutamanya orang-orang Melayu.
Inilah salah satu penyakit yang sedang merebak dikalangan orang-orang Melayu pada masa kini. Mereka lebih suka mengambil jalan mudah untuk melakukan sesuatu daripada mereka berusaha mencapai sesuatu itu sendiri. Penyakit minda ini perlu diperbaiki agar ianya tidak terus menyerap dan menjadi sebahagian dari cara hidup bangsa kita di masa akan datang. Jangan sampai anak-anak kita nanti menjadi penumpang dalam negara mereka sendiri.
Fikir-fikirkan lah.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.