Mengingati Sambutan Maal Hijrah yang bakal menjelang tiba 18 Disember 2009 akan datang, saya terkenangkan Sirah Hijrah Rasulullah 1431 tahun yang lalu. Tarikh 1 Muharram pada ketika itu merupakan sejarah paling gemilang dalam dunia Islam kerana ia merupakan satu tarikh dimana ia menjadi satu titik tolak Islam berkembang dalam keadaan yang lebih baik dari sebelumnya. Ia juga merupakan permulaan bagi perkembangan Empayar Islam yang tersohor hingga ke hari ini. Walaupun sebelum tarikh itu, Hijrah telah pun dilaksanakan oleh beberapa orang sahabat Rasulullah S.A.W ke Negara Abisina, sebuah daerah Kristian dimana Raja Negus, sangat adil terhadap rakyatnya. Tetapi Hijrah ke Madinah ini lebih bermakna. Ini disebabkan kerana Rasulullah S.A.W turut serta dalam Hijrah ini bersama-sama umat Islam Mekah yang lain. Tidak seperti hijrah sebelum itu dimana hanya para sahabat sahaja yang berhijrah dan Rasulullah S.A.W bersama beberapa sahabat lain tetap tinggal di Mekah.
Sebelum Rasulullah memikirkan perihal Hijrah ini, elok rasanya saya menceritakan kisah sebelum itu.
Setiap tahun, akan ada musim ziarah dimana orang-orang dari segenap jazirah Arab berkumpul di Mekah. Pada ketika ini, Rasulullah pergi menemui mereka dan berdakwah tanpa menghiraukan sama ada mereka mahu mendengarnya atau tidak. Baginda menyeru mereka agar dapat memahami kebenaran agama yang dibawa oleh Baginda. Walaupun ada tentangan dari pihak Quraisy, ada juga diantara khabilah-khabilah itu yang mahu mendengar, walaupun mereka tidak benar-benar memahami pada mulanya. Diantara khabilah yang benar-benar menunjukkan minat datangnya dari Negeri Yathrib.
Bagi Rasulullah S.A.W, Yathrib mempunyai erti hubungan yang lebih dari hubungan perniagaan secara peribadinya. Di situ, ada sebuah tempat yang sering menjadi persinggahan kaum keluarganya sebelum mereka pulang ke Mekah. Di Yathrib ini terletaknya Makam Ayahanda Baginda, Abdullah ibn Abd'l-Muttalib. Ke makam inilah yang sering menjadi tempat ziarah Ibunda Baginda, Aminah. Maka bersama Ibundanya itulah Rasulullah pergi menziarah pada ketika usia Baginda 6 tahun. Dan dalam perjalanan pulang pada tahun itu juga, Ibunda Baginda jatuh sakit di pertengahan jalan lalu meninggal dunia. Ibunda Rasulullah dikebumikan di sebuah daerah yang dikenali sebagai Abwa, pertengahan jalan antara Yathrib dengan Mekah.
Di ceritakan oleh khabilah-khabilah Yathrib ini kepada Rasulullah bahawa disana juga terdapat jazirah Arab yang terdiri dari dua suku kaum yang terbesar iaitu Aus dan Khazraj. Mereka juga turut dikelilingi oleh kaum-kaum lain dan terdapat juga Kaum Yahudi. Namun, kadang kala mereka saling menimbulkan sifat kebencian terhadap kaum Yahudi ini sehingga sering berlakunya peperangan. Walaubagaimana pun, kaum Yahudi itu berjaya memecah belahkan kaum Aus dan Khazraj kerana mereka tahu, sekiranya kedua-dua kaum itu bersatu dan mendapat bantuan dari jazirah Arab yang lain, maka sudah tentu mereka akan dihapuskan. Akhirnya, permusuhan diantara Aus dan Khazraj itu berlaku walaupun mereka asalnya dari jazirah yang sama.
Selain konflik perebutan kuasa diantara Aus dan Khazraj ini, ada suatu pengaruh yang lebih mendalam dari itu iaitu pengaruh rohani. Ini disebabkan mereka di kelilingi oleh bangsa Yahudi yang mencela penganut agama pagan iaitu menyembah berhala dan kepercayaan mereka kepada tuhan yang satu, walaupun mereka, kaum Yahudi itu tidak pernah mengajak sesiapa pun menganut agama mereka. Tetapi dengan adanya hubungan perdagangan antara Yahudi dan Arab (Aus dan Khazraj) ini tadi, maka pengetahuan dalam ilmu kerohanian dan masalah agama lain dikalangan Aus serta Khazraj ini sangat mendalam. Keadaan ini memudahkan mereka memahami apa yang disampaikan Rasulullah setiap kali mereka pergi menziarahi Mekah.
Seperti contoh, Suwaid bin 'sh-Shamit yang juga dikenali dikalangan orang Yathrib sebagai al-Kamil (yang sempurna) kerana ketabahan serta pengetahuannya. Pada ketika beliau berziarah ke Mekah, Rasulullah S.A.W pergi bertemunya lalu diajak mengenal Allah dan menganut agama Islam. Dalam pertemuan itu, Suwaid membacakan kata-kata mutiara Luqman dan Rasulullah membacakan Al-Qur'an. Suwaid berasa gembira apabila beliau mendengar ayat-ayat suci itu keluar dari mulut Baginda Rasulullah S.A.W. Lalu beliau beredar untuk memikirkan apa yang telah didengar serta seruan Baginda agar beliau menerima Islam. Namun, dalam pada ketika itu juga beliau telah dibunuh oleh kaum Khazraj. Ini menunjukkan bahawa adanya pengaruh agama Yahudi dari segi rohaninya kerana apa yang dibaca oleh Suwaid itu juga terdapat di dalam agama Ahli Kitab.
Tamat Bahagian 1.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.