Yayasan Pahang amat sinonim dengan bantuan Biasiswa untuk pelajar-pelajar di Negeri Pahang. Sama ada mereka dalam sekolah rendah atau pun sekolah menengah pasti mereka pernah mendengar nama Yayasan Pahang disebut oleh Guru Sekolah mereka. (Itu pun bagi Guru yang mengambil berat kebajikan anak-anak muridnya). Kenapa tidak, Yayasan Pahang menyediakan kemudahan bantuan kepada pelbagai peringkat usia dalam pelbagai bidang yang menjurus ke arah pendidikan.
Bermula dengan Skim Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) yang mula diperkenalkan sejak tahun 2002, Yayasan Pahang telah mengeluarkan belanja sebanyak RM4.1juta pada tahun 2009. Pada awal permulaan skim ini sahaja, Yayasan Pahang memperuntukkan sebanyak RM1.5juta yang diberikan kepada 7,391 orang murid. Peningkatan jumlah penerima biasiswa ini kian meningkat dimana angka yang layak menerima pada tahun 2009 sahaja sudah mencapai 16,445 orang. Jumlah pelajar meningkat lebih daripada 50%.
Bagi biasiswa Sekolah Menengah pula, Yayasan Pahang sudah mula memperkenalkannya sejak tahun 1983 lagi. Ianya diberikan kepada pelajar dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6. Keutamaan dalam biasiswa ini diberikan kepada pelajar yang berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan dan pelajar yang cemerlang dalam bidang akedemi serta ko-kurikulum. Sejak tahun 1983 hingga 2009, seramai 98,205 pelajar telah menerima manfaat dari skim biasiswa ini dengan perbelanjaan
sebanyak RM19.4juta. Dalam ertikata lainnya, pelajar yang layak menerima biasiswa ini ditaja selama 5 tahun, belajar PERCUMA.
Selain itu, Yayasan Pahang juga turut mengeluarkan Geran Bantuan Pelajar IPT yang bermula dari tahun 2000. Setiap pelajar yang mendapat tawaran ke IPT layak menerima Geran Bantuan sebanyak RM500.00 bagi membantu mereka memulakan pengajian. Sehingga Disember 2009, seramai 78,022 orang pelajar yang menerima tawaran ke IPT telah mendapat manfaat dari geran ini dengan jumlah perbelanjaan sebanyak
RM39 juta. Tanpa perlu dibayar semula.
Melalui Yayasan Pahang juga, Negeri Pahang mencatatkan angka Pelajar Tahfiz paling ramai dari negeri-negeri lain. Dengan saranan dari pihak Kerajaan, maka Yayasan Pahang telah memperkenalkan Biasiswa Tahfiz Profesional yang bermula sejak tahun 2002 lagi. Ia diwujudkan bagi membantu golongan pelajar yang cemerlang dalam bidang Tahfiz untuk
melanjutkan pelajaran dengan mengikuti Kursus Pensijilan Tahfiz Al-Qur'an anjuran Jakim atau UIAM dalam Jurusan Profesional. Lulusan kursus ini selanjutnya akan meneruskan pengajian mereka dalam bidang perubatan, kejuruteraan, perakaunan, farmasi dan lain-lain. Bayangkan seorang doktor dari golongan Hafiz Al-Qur'an.
Selain itu, Yayasan Pahang juga mengeluarkan biasiswa Diploma Tahfiz Al-Qur'an Wal Qiraat Maahad Tahfiz Negeri Pahang. Program ini dijalankan selama 3 tahun bertujuan untuk melahirkan generasi Huffaz, Qurra' dan Du'at yang mahir lagi berketerampilan selaras dengan keperluan Ummah serta negara. Sejak penubuhannya, bilangan pelajar serami 178 orang telah dan sedang mengikuti pengajian di Maahad ini.
Kesimpulannya, Yayasan Pahang yang ditunjangi Kerajaan Negeri sejak tahun 1983 lagi sudah mula membantu membiayai pendidikan rakyat diseluruh Negeri Pahang. Jumlah kasar yang dibelanjakan sejak tahun 1983 hingga 2009 adalah seperti berikut:
1. Biasiswa = RM171.2juta
2. Pinjaman = RM274.5juta
3. Pendidikan dan Kemasyarakatan = RM111.2juta.
Bayangkan jajahan takluk Negeri Terbesar di Semenanjung ini sudah lama membantu rakyat, hampir 27 tahun lamanya. Tidak pernah ada mana-mana pihak yang memaklumkan kepada Kerajaan Negeri bahawa mereka memperakui keprihatinan terhadap institusi pendidikan generasi masa depan selama ini. Sebagai rekod, Kerajaan Negeri Pahang BELUM PERNAH ditakbir oleh Pembangkang sebelum ini. Sudah berapa tahun BN dan UMNO menjadi teraju utama Kerajaan Negeri ini?
Dari mana datangnya wang perbelanjaan yang disalurkan kepada rakyat ini? Mengikut rekod Kerajaan Negeri tidak pernah memohon perbelanjaan tambahan dari Kerajaan Pusat untuk membantu meneruskan hasrat ini. Maka, dengan erti kata lainnya setiap penduduk yang tinggal di Negeri Pahang turut menikmati hasil balak dan bukan segelintir pihak sahaja yang memperolehi manfaatnya. Pun begitu, Pahang masih merupakan tunjang kepada Eko Sistem Semula Jadi Negara. Hutan-hutannya masih segar dan turut menjadi tumpuan ramai. Itu pun kerajaan Negeri tidak menuntut sebarang pengiktirafan.
Perkara ini hanya dipaparkan untuk membidas rasa bongkak dan sombong pihak pembangkang yang kononnya merekalah yang mempelopori Negeri Kebajikan sedangkan Kerajaan Negeri Pahang sudah lama melaksanakannya. Itu belum dibongkar kisah mereka yang berhutang dengan Negeri Pahang lagi. Ini pun belum dikira Program-Program Kebajikan lain yang disediakan kepada rakyat oleh Kerajaan Negeri.
Bersyukurlah kita dengan nikmat yang Allah S.W.T berikan. Perlu apa kita rasa bongkak dengan kebaikan yang kita lakukan melainkan ianya hanya mengundang murka Yang Maha Esa? Nauzubillah. Belum sampai sepenggal menjadi Kerajaan Negeri, pihak pembangkang angkuh mengatakan diri merekalah yang terbaik. Astargfirullahalazim. Sedarlah, apa yang kita miliki hari ini hanya sementara. Tiadalah niat posting ini untuk membangga-banggakan Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur ini. Sekadar renungan buat mereka yang merasakan merekalah yang terbaik sedangkan ada yang lebih baik dari mereka. Apa gunanya kebaikan itu jika tidak mendapat Keredhaan Allah S.W.T?
Fikir-fikirkan lah.
(Sumber diperolehi dari Risalah Yayasan Pahang: Back To Basic).
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.