FRIDAY, SEPTEMBER 4, 2009
Surat Terbuka Untuk Penduduk Seksyen 23
2hb September 2009 M
13 Ramadan 1430 H
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Kehadapan penduduk Seksyen 23 yang dihormati,
Semoga surat ini menemui tuan-tuan dalam keadaan sihat wal afiat serta keimanan yang teguh dan jitu berkat bulan Ramadhan ini.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri saya serta tuan-tuan akan Firman Allah, Surah Al Maaidah ayat 8 yang bermaksud;
“Bertindak adil! Ianya lebih rapat dengan keTaqwaan.”
Semoga dalam usaha kita membina keTaqwaan dalam bulan Ramadhan ini, kita mengingati hakikat bahawa ‘keTaqwaan’ yang diusahakan itu mempunyai hubungan rapat dengan keadilan. Keadilan ini pula perlu dilaksanakan terhadap semua, walaupun terhadap yang tidak disenangi. Ini ditegaskan di dalam ayat yang sama yang bermaksud,
“dan jangan oleh kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil…”
Kalau terhadap kaum yang dibenci sekalipun dituntut keadilan, apatah lagi terhadap jiran sekampung dan warga sekota? Walaupun mereka tidak sebangsa dan seagama, hakikatnya mereka tidak memusuhi kita atau memusuhi Islam. Maka, mereka layak mendapat layanan yang adil. Adakah adil sekiranya kita menafikan mereka hak tempat beribadat yang berhampiran dan sebaliknya memaksa mereka ke Seksyen 22, di tengah-tengah kawasan Industri berat, jauh dari kawasan kediaman? Tiada apa di sana kecuali kilang-kilang.
Saya hanyalah seorang wakil rakyat yang dipilih oleh tuan-tuan melalui pilihan raya yang diadakan pada masa-masa tertentu. Saya tidak berhak memaksa apa-apa pandangan atau keputusan ke atas tuan-tuan semua. Saya hanya mengharapkan keputusan yang tuan-tuan rumuskan sendiri berhubung cadangan pemindahan kuil ke Seksyen 23 mengambil kira persoalan keTaqwaan dan keAdilan seperti di atas.
Islam adalah agama yang adil. Keadilannya mampu menawan hati semua manusia. Yang paling saya takuti adalah tindakan yang memberikan gambaran bahawa Islam adalah sebaliknya. Allah murka terhadap mereka yang bertindak dengan cara yang merosakkan imej Islam sehingga menyebabkan manusia terhalang untuk mengenali keadilannya. Allah berfirman ayat 94 Surah An-Nahl yang bermaksud:-
“Dan kamu ditimpa kehinaan kerana menjadi penghalang kepada jalan Allah (disebabkan tindakan buruk kamu) dan untuk kamu azab yang amat dahsyat (pada hari akhirat kelak)”
Ada yang bertanya kepada saya, tidakkah saya khuatir saya kalah dalam Pilihan Raya yang bakal tiba oleh kerana isu ini. Bagi saya sekiranya itulah kehendak pengundi, apakan daya? Yang penting sejarah akan menjadi saksi bahawa ada Ahli Parlimen dari parti Islam yang memperjuangkan keadilan untuk semua walaupun orang Hindu.
Seperti kisah seorang raja Islam di Mysore, Bangalore, India pada abad ke 18 yang bernama Sultan Fateh Ali Khan Tippu (Tippu Sultan). Rakyatnya terdiri daripada orang Islam, Hindu dan Sikh. Hingga ke hari ini rakyat India masih menceritakan mengenai pemerintahan beliau yang berasaskanIslam sebagai sebuah pemerintahan yang adil.
Semoga Allah memberkati kita semua dan memimpin kita ke jalan yang diRedhaiNya.
وسلام عليكم و السلام على من التبع الهدى
YB KHALID BIN ABDUL SAMAD
Ahli Parlimen Shah Alam
Sumber: http://www.khalidsamad.com/2009/09/surat-terbuka-untuk-penduduk-seksyen-23.html
Sumber: http://www.khalidsamad.com/2009/09/surat-terbuka-untuk-penduduk-seksyen-23.html
Ps: Kalau Islam itu adil untuk semua, kenapa puak - puak PAS ni sibuk kata yang Bukan Islam terkecuali dalam perlaksanaan hukum Hudud?
Kenapa mereka perlu tunduk dan patuh kepada tuntutan DAPigs agar tidak mengaitkan golongan Bukan Islam dalam perlaksanaannya?
Dengan mengasingkan golongan Bukan Islam, adakah bermakna Islam itu adil kepada semua orang?
Nampak sangat apa yang dilakukan oleh Si Khalid Gereja ni dah memakan diri dia sendiri. Banyak sangat nak menipu sana sini, akhirnya dia kntoi diri dia sendiri!!!
Khalid Samad cakap tak serupa bikin. Adilkah dia sendiri bersikap double standard kerana menjaga hati Hindu kuil sanggup membatalkan pemindahan kuil yg dilulus BN ke Sek 22 menyebabkan penduduk Sek 19 terpaksa mengahadapi pelbagai gangguan serius?. Adilkah penduduk Sek 19 yang minta bantuan NGO dikecam pelbagai tuduhan dan berderet artikel ditulis menuduh NGO buat provokasi kepada kuil Hindu?. Adilkah buat tuduhan provokasi dikaitkan dengan pilihan raya kecil Kuala Terengganu hanya kebetulan prk diadakan disana?. Kenapa Khalid Samad tidak ambil serius aduan penduduk diganggu Hindu hingga penduduk terpaksa minta bantuan luar?. Kenapa Wakil2 Rakyat Shah Alam memilih tapak kuil baru berhampiran kawasan perumahan majorti Islam? Kenapa Khalid Samad menulis dalam blog mengatakan kawasan tapak itu jauhnya 200 meter dari kawasan perumahan penduduk sedangkan dalam laporan MTEN dikeluarkan MBSA jaraknya lebih dekat?. Tidakkah Khalid Samad sedar risiko yang akan dihadapi penduduk Sek 23 jika kuil itu dipindahkan berhampiran kawasan mereka?. Tambahan pula tapak kuil yang dihadiahkan kepada pihak yang ceroboh tanah PKNS di Sek 19 adalah satu ekar. Setengah ekar untuk tapak kuil dan setengah ekar untuk kawasan lapang. Kenapa mesyuarat pemindahan kuil hanya melibatkan wakil rakyat dan wakil kuil? Kenapa wakil penduduk Islam Sek 23 tidak dipanggil?. Penduduk Sek 23 sudah buat bantahan sejak Mei 2009. Adilkah kerana menjaga hati pihak kuil bantahan penduduk Islam tidak dipedulikan? Asyik2 bila timbul isu UMNO yang dipersalahkan. Demonstrasi bantahan penduduk telah menggemparkan negara di SUK pada 28/08/2009. Tetapi Khalid Samad hantar lagi surat terbuka pada 02/09/2009 meminta penduduk menerima kuil itu. Tidak hairanlah perjumpaan diadakan di Dewan MBSA pada 05/09/2009 wakil rakyat Shah Alam telah dikecam hebat. Tapi media PR salahkan penduduk. Keadilan untuk semua? Tak gitu???
BalasPadamPetikan Risalah bertajuk Isu Pemindahan Kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23. Adilkah NGO yang bantu penduduk Islam Seksyen 19 dan Seksyen 23 dipersalahkan? Pemimpin NGO Pewaris yang diserang Khalid pada 8/1/2009 dinamakan dalam risalah dibawah ini. Kenapa Hindu kuil yang memulakan provokasi kepada penduduk yang dibela?. Kenapa tidak ada ditulis gangguan yang dihadapi penduduk Sek 19?. Berderet aduan sudah dihantar kepada pihak berkuasa. NGO dirikan gelanggang bersebelahan kuil untuk mengelakkan lebih banyak kawasan tanah PKNS diceroboh. Pada 14/12/2008 dan 21/12/2008 pihak kuil telah membesarkan bilik2 di kuil itu. Penduduk telah diminta NGO menjawab artikel Khalid Samad. Jawapan penduduk disiarkan pada 13/01/2001 - Semak - pewarisummah.blogspot.com. Ada video ubahsuai kuil, rumah diconteng 303, botol2 arak dikawasan penduduk dan gambar kawasan sekitar kuil itu disertakan dalam video itu.
BalasPadamPetikan risalah "Memahami isu pemindahan kuil dari Sek 19 ke Seksyen 23" diterbitkan oleh Bahagian Sekretariat Akhbar Kerajaan Selangor.
Siapakah dalang disebalik bantahan keterlaluan yang diadakan baru-baru ini?
Demonstrasi membantah pemindahan Kuil tersebut dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 yang diadakan baru-baru ini melibatkan kurang daripada 50 orang yang tidak berpuas hati dengan cadangan Kerajan Pakatan Rakyat Selangor untuk memindahkan Kuil tersebut ke Seksyen 23.
Namun, Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor percaya, keadaan ini berlaku apabila Jawatankuasa Bertindak tersebut telah diberikan maklumat yang tidak tepat oleh sesetengah pihak mengenai proses pemindahan itu. Bantahan berlaku ketika Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dan Pejabat Parlimen Shah Alam telah bersedia dan bersetuju untuk berdialog dengan para penduduk Seksyen 23.
Oleh itu, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor percaya pihak daripada organisasi bukan kerajaan (NGO) iaitu PEWARIS mempunyai agenda politik mereka tersendiri. Kemuncak kepada bantahan penduduk ialah apabila pihak PEWARIS ini telah meletakkan lambang berkaitan agama (kepala lembu) yang dianggap sensitif bagi penganut agama Hindu di hadapan pintu masuk bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor.
Selain itu, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor juga percaya, PEWARIS ketika bantahan itu, telah menghasut para penduduk untuk mengeluarkan kata-kata bersifat perkauman. Bantahan yang didalangi mereka ini dianggap keterlaluan apabila bantahan yang sedemikian dilakukan di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Secara tidak langsung, PEWARIS bukan sahaja tidak menjaga sesnsitiviti agama lain malah telah mencemarkan bulan Ramadhan dengan tindakan keterlaluan mereka itu.
Malah pihak ini jugalah yang mendalangi bantahan para penduduk Seksyen 19 supaya kuil tersebut dipindahkan ke lokasi lain sesegera mungkin. Nyata, PEWARIS telah memainkan peranan sebagai agen provokasi untuk memulakan pertelingkahan kaum dikalangan masyarakat. Jelas, sebagai sebuah kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak akan membenarkan api-api perkauman dimainkan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan politik mereka tersendiri.
Selain itu, terdapat juga ugutan ke atas Jawatankuasa Kuil dan para penganut agama Hindu dengan mengganggu upacara sembahyang mereka, menceroboh kuil dan memakai t-shirt "Unit Jihad". Nyata, ini merupakan provokasi perkauman yang didalangi pihak-pihak yang mempunyai agenda politik dan seterusnya mencemar maksud jihad dalam agama Islam.
Pihak Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memberi kepercayaan sepenuhnya kepada para penduduk Seksyen 23 bahawa mereka tidak akan bertindak membatasi tatasusila dan toleransi kaum masyarakat majmuk. Bantahan tersebut tercemar apabila PEWARIS melanggar adab dan tatasusila masyarakat Selangor khususnya dan Malaysia amnya.
Maaf jawapan oleh orang orang penduduk Seksyen 19 mengenai Persoalan Kuil di Seksyen 19 dan tindakan Pewaris telah dijawab melalui blog pewrisummah.blogspot.com pada 13/01/2009 bukan 2001.
BalasPadam