KUALA LUMPUR, 11 Dis – Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menjelaskan baginda telah meminta kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri bersetuju dengan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, yang diluluskan Julai lalu, bagi memastikan pentadbiran agama Islam dapat diurus dengan baik.
Sehubungan itu titah Sultan Selangor, selaku ketua agama Islam di negeri itu, baginda bertanggungjawab memastikan pentadbiran agama Islam dalam berjalan dengan lancar dan berkesan.
“Oleh yang demikian, saya menitahkan semua Ahli Yang Berhormat supaya bersetuju dengan semua cadangan pindaan yang dikemukakan dan seterusnya meluluskan rang undang-undang tersebut supaya semua cadangan pindaan dapat dilaksanakan segera,” kata baginda dalam temu bual dengan Mingguan Malaysia disiarkan hari ini.
Titah Sultan Selangor, bukan baginda tidak beri rang undang-undang berkenaan dibahaskan, tetapi isu pindaan berkenaan telah lama diluluskan iaitu pada Jun lalu.
“Kenapa baru sekarang diungkit balik? Saya ingat ada orang yang tidak suka dengan pindaan Seksyen 80(1) tentang peguam syarie mesti orang Islam, tidak boleh orang bukan Muslim. Mengenai isu ini, mufti pun sudah buat fatwa,” titah baginda lagi.
Baginda seterusnya berkata, “kita jangan terkeliru kerana orang bukan Islam boleh belajar undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) tetapi tidak boleh menjadi peguam syarie. Ini yang (pensyarah UIA) Prof Abdul Aziz Bari tidak faham.
“Fatwa sudah dibuat, kita hanya perkuatkan lagi dengan memasukkan dalam enakmen,” titah baginda dan menambah, “itu yang bising sangat.”
“Ada orang pergunakan orang Melayu,” jelas baginda menjelaskan pertikaian mengenai isu itu sebelum ini.
Baginda seterusnya bertitah, Seksyen 85 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor dimansuhkan kerana Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bukan tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Akta Badan Berkanun seperti anak-anak syarikat kerajaan negeri.
“Berbeza dengan (Jabatan Agama Islam Selangor) Jais yang masih di bawah kerajaan negeri, Mais mempunyai ahli majlisnya sendiri, yang saya lantik untuk melihat polisi-polisi agama Islam.
“Mereka (ahli Mais) ada tanggungjawab besar dan mereka memberikan nasihat kepada saya. Semua minit mesti diserahkan kepada saya. Itu yang Prof Aziz marah sangat. Kata tidak dalam berkanun, Mais tidak payah audit, mana boleh. Mais dari dulu kita audit,” titah baginda.
“Zakat diaudit. Oleh kerana audit zakat dalam Mais ini bersih jadi tidak masuk dalam akhbar. Biasanya kalau ada kesalahan dari segi audit, baru disiarkan di suratkhabar,” tambah Sultan Selangor.
Dalam temu bual ini, Sultan Selangor bertitah menjelaskan, “kalau Prof Aziz kata zakat di Selangor tidak audit, nanti orang ramai takut hendak beri zakat.”
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.