Cis!!! Berani Diorang Pinggirkan Mila Ni Ye??? |
SEHINGGA ke hari ini, radio kekal menjadi saluran penyampai maklumat utama kepada masyarakat. Biar dihimpit dengan pelbagai kecanggihan teknologi dalam dunia penuh persaingan, fungsi radio kekal sebagai medium penyampai maklumat yang berterusan, selain menyalurkan sumber hiburan utama kepada pencinta seni dan budaya.
Meskipun terdapat pelbagai cara lain untuk mempopular dan mempromosikan karya terutama melalui media baru, namun radio tetap mendominasi.
Lagu yang tidak disiarkan di radio, akan sukar menarik perhatian masyarakat dan itu adalah realiti yang berlaku dari dulu, kini dan barangkali pada masa depan juga.
Namun akhir-akhir ini banyak kes yang kita dengar membabitkan keluhan rakan artis yang mengadu kecewa apabila lagu mereka tidak disiarkan di corong radio terutamanya radio swasta.
Ini bukan sahaja berlaku kepada artis baru, tetapi artis senior juga tidak mendapat pembelaan sewajarnya dalam kes ini.
Artis baru apatah lagi. Ada kalanya, pada pendengaran kita lagu itu ‘sedap’ tapi tidak mendapat tempat di stesen radio, seperti lagu Diam dendangan Lufya Omar.
Pada hal, lagu tersebut menarik berbanding beberapa lagu yang disiarkan di corong radio, tapi sayang nasib tidak menyebelahi peserta Akademi Fantasia musim keenam itu.
Penyanyi Siti Nordiana antara yang paling menderita tentang sikap anak tiri diamalkan radio swasta. Tiga albumnya termasuk berjudul Semakin Jelas hanya dipandang sepi radio swasta.
Sebelum itu, penyanyi senior Ramlah Ram turut mengadu, bagaimana lagu Ketentuan langsung tidak dipandang oleh pihak radio swasta, lalu terpinggir begitu saja.
Meskipun Ketentuan menjuarai carta Hits 1 di RTM, ia seperti tidak bernilai di pandangan pengendali radio swasta tempatan. Kenapa ya?
Penyanyi Liza Hanim yang pernah melaburkan ratusan ribu ringgit untuk album terbarunya beberapa tahun lalu, turut menerima ‘musibah’ yang sama apabila albumnya langsung tidak dipandang oleh pihak terbabit.
Itu hanya sekadar menyebut satu dua nama yang terlintas, walaupun realitinya ratusan lagi artis lain turut terkena dengan sikap ‘sombong’ pihak radio swasta.
Sebelum ini juga, penyanyi Fazli Zainal pernah ‘digam’ gara-gara lantang bersuara mengenai hal sikap radio swasta dan sekaligus menggambarkan keangkuhan pihak terbabit yang tidak dapat menerima kritikan secara terbuka.
Masalah demi masalah yang tidak berkesudahan itu membuatkan kita tertanya-tanya apa sudah jadi dengan syarat yang dikenakan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) pada awal tahun 2010 lalu?
Syarat itu mewajibkan semua stesen radio memutarkan lagu baru nyanyian penyanyi tempatan mulai 1 Mac tahun berkenaan.
Melalui arahan itu, setiap radio yang ingkar tidak akan diperbaharui lesen mereka. Kesan dari tindakan itu jika diambil ialah stesen radio yang ingkar tidak akan dapat ke udara.
Ia bertujuan memastikan artis tempatan yang melahirkan lagu-lagu baru tidak dianaktirikan.
Secara dasarnya, setiap lagu tempatan yang mahu disiarkan di setiap radio di negara ini perlu melalui proses penilaian yang dijalankan Panel Penilaian Lagu Tempatan (PPLT) iaitu sebuah badan yang bernaung di bawah KPKK.
Bagaimanapun kelulusan dari badan itu bukan bermakna lampu hijau untuk lagu berkenaan akan dimainkan oleh mana stesen radio.
Nah, barangkali disinilah punca sebenar kenapa persoalan radio menganak-tirikan lagu-lagu baru artis-artis ini tidak menemui penyelesaiannya sehingga ke hari ini kerana kuasa sebenarnya tetap dipihak radio penyiar yang boleh melakukan apa saja.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.