Ibarat sengaja mengundang suasana hambar dan mengganggu ‘mood’ gembira malam itu jika segala gosip itu diungkit kembali, Remy dan Tasha mohon agar diberikan sedikit ruang untuk masing-masing bernafas lega.
Jelas Remy yang sudah kalis dengan pelbagai dakwaan dan gosip sebelum ini termasuk hubungan cintanya dengan Tiz Zaqyah, biarlah yang berlalu dilepaskan tenang tanpa perlu diingatkan kembali kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.
“Saya akur tugas media dan saya juga faham akan status selebriti yang mana membuatkan kisah peribadi saya dipaparkan secara umum kerana peminat sendiri ingin tahu akan segala macam mengenai diri saya. Itu hakikat yang sudah lama saya telan dan kini semakin positif menerimanya.
“Bagaimanapun saya manusia biasa yang ada kalanya tidak mampu lari daripada emosi yang mana saya inginkan soal peribadi itu tidak sekali diperdagangkan kepada umum.
"Itulah yang kadang-kadang menimbulkan kekeliruan kepada diri saya, tersepit di antara banyak hati yang perlu dijaga dan juga komitmen saya sebagai seorang pelakon.
“Apapun jika diberi peluang dan kesempatan, saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan apa-apa kisah peribadi atau isu yang akhirnya boleh merosakkan reputasi dan nama baik.
"Saya ingin dikenali sebagai seorang pelakon dan lebih baik saya diperkatakan mengenai lakonan dan peningkatan saya dalam menghidupkan sesebuah watak.
“Namun saya bertuah kerana peminat memahami dan tidak henti memberikan sokongan kepada saya selain keluarga dan teman-teman rapat,” katanya.
Aktor kacak berusia 30 tahun yang sebelum ini berjaya memikat jiwa penonton menerusi filem Anak Halal, Cun dan Nur Kasih The Movie bagaimanapun menyifatkan segala macam kisah yang terpapar selama ini adalah kehendak orang sekeliling dan bukannya dirinya.
“Sebenarnya peminat yang menyukai jika saya menjalinkan hubungan cinta dan berkongsi segala sisi peribadi saya. Media pula berperanan untuk menyalurkan apa yang diinginkan dan saya sebagai anak seni faham dan akur akan situasi begitu.
"Inilah harga yang perlu dibayar menjadi seorang selebriti. Jauh mana ingin bersembunyi, pasti ada saja yang dapat menghidu,” selorohnya.
Lain bagi Tasha atau nama sebenarnya, Natasha Sheila Abd Razak yang mula mencipta nama menerusi filem Ratu The Movie dan Klip 3GP, kemunculannya bagai mencetus pesona tersendiri.
Mana tidaknya, dalam ramai bintang muda berbakat dan penuh cerita, wajah gadis berusia 25 tahun ini diangkat menjadi Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian baru-baru ini.
Walaupun ada yang mempertikai dan mempersoalkannya, hakikatnya, Tasha bakat baru yang menyerlah baik.
Mula kisah ditaja, gambar bersosial yang tersebar hinggalah perselisihan faham dengan seorang lagi pelakon, sedikit sebanyak ia meletak namanya di gelanggang yang berbeza. Jelasnya, itulah masam manis dunia seni.
“Jika ikutkan hati dan tidak berfikir panjang, ingin sekali saya bangkit mempertahankan diri. Namun kalau dilihat dari skala yang lebih luas dan perjalanan yang baru hendak bermula, saya lebih suka berdiam dan membiarkan saja orang bercakap. Kalau penat nanti, diamlah mereka.
“Saya rasa itulah rahsia terbaik untuk tidak lebih lama terjerat dengan kisah sebegitu kerana jika dilayan atau memberi sebarang kenyataan balas, ia tidak akan berakhir malah lebih memburukkan keadaan.
"Saya ingin lama dalam lapangan ini dan saya punya perancangan sendiri untuk menjadi seorang pelakon yang berjaya satu hari nanti.
“Sudah tentu perkara sebegini tidak akan menjadi alasan untuk melemahkan semangat saya ataupun merosakkan perjalanan saya,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.