Ketika menyertai Dewi Remaja 2010, gadis berdarah kacukan Melayu Serani ini pernah dilamar mencipta nama sebagai pelakon, tetapi tawaran itu hanya dipandang sepi berikutan hatinya lebih terpanggil bergiat serius dalam dunia peragaan.
Pun begitu, apabila ibunya mempersoalkan tidakkah dia berminat mengikut jejak langkah teman menyertai dunia hiburan tanah air, minat untuk mencuba mula timbul.
Tambah pula atas usaha sahabat karibnya yang juga jurusolek terkenal memperkenalkannya kepada orang produksi Grand Brilliance (GB), dia dipilih menjayakan drama BFF...Teman Tapi Mesra di samping Sari Yanti, Munif Isa dan Irfan Roslan.
“Sejujurnya, saya tidak menyangka akan terbabit dalam bidang ini. Peluang datang tiba-tiba apabila Deq Sha sarankan nama saya kepada GB yang kebetulan mahu menerbitkan drama BFF. Ketika itu rasa berbelah bahagi kerana lakonan bukan jiwa saya.
“Saya dibawa bertemu penerbit drama berkenaan dan terus diterima berlakon tanpa uji bakat. Sejak itu, saya jatuh hati dengan bidang ini dan tawaran tidak berhenti-henti hingga ke hari ini.
“Selain Deq Sha, seorang lagi kawan baik saya yang juga jurusolek profesional, Chika turut bantu memperkenalkan saya kepada penerbit.
“Syukur, sepanjang enam bulan dalam industri, saya menjayakan lima drama iaitu BFF, Lara Hati, Esah Pajero, Rentas Samudera dan PA Cinta. Jika tiada aral, PA Cinta akan disiarkan di TV9 pada 11 Julai ini dan Esah Pajero pula menyusul di slot Senda Pagi, TV3,” kata dara manis kelahiran Parit Buntar ini.
Meskipun masanya padat dengan penggambaran, Syatilla tetap meneruskan kariernya sebagai model. Jika tidak terbabit dengan penggambaran, dia memenuhi undangan menjayakan peragaan fesyen dan fotografi bersama majalah.
“Mana mungkin saya tinggalkan dunia peragaan kerana ia jiwa dan lubuk rezeki saya selama ini. Saya bukan datang daripada keluarga senang, ayah pun sudah bersara. Dalam keluarga, cuma saya anak yang bekerja, kakak dan adik masih belajar.
“Saya tidak sampai hati melihat ayah bersusah-payah, jadi saya ambil tanggungjawab ini untuk ringankan bebannya. Setakat ini, apa saja keperluan keluarga, terutama mak dan ayah, saya akan cuba penuhi,” kata anak kedua daripada lima beradik yang matang dan bijak merencana masa depan ini.
Mengenai kebangkitan gelombang wajah baru jelita dan berbakat yang kebanyakannya dicungkil daripada pentas Dewi Remaja, Syatilla tidak menafikan pertandingan anjuran sebuah majalah itu antara medan terbaik untuk gadis muda terjun dalam bidang peragaan dan seni.
Ramai melakar populariti seperti Juliana Banos, Wan Khatijah Wan Othman, Wardina Saffiya, Rita Rudaini, Scha Al Yahya dan Izreen Azminda.
Meskipun terlambat menyertai bidang ini berbanding teman seangkatan, dia yakin pasti ada ruang untuknya menggilap bakat, sekali gus meraih kejayaan serupa.
“Saya tidak menafikan persaingan memang sengit, apatah lagi teman seangkatan sudah ada nama sedangkan saya baru bertatih, namun saya percaya setiap orang ada rezeki dan tuah.
“Lagipun, kami saling menyokong sejak zaman Dewi Remaja lagi, bahkan menjaga hubungan supaya tidak ada masalah. Kalau pun bersaing, kami lakukannya secara sihat. Saya bangga melihat kejayaan Neelofa, Izara, Anzalna serta Ramona dan sentiasa mendoakan mereka terus bersinar.
“Saya tidak kisah bermula dari bawah, malah sedar banyak lagi yang perlu saya belajar jika mahu bertahan lama dalam bidang ini. Terus-terang, saya selesa bermula dari bawah, malah tidak kisah diberi watak kecil.
“Kalaupun ada yang tawarkan watak utama buat masa ini, saya tidak berani ambil tanggungjawab itu kerana masih terlalu awal. Biar saya belajar dulu dan jika orang sudah nampak bakat saya, baru akan pertimbangkan watak lebih besar,” katanya yang mengutamakan kualiti, bukan kuantiti.
Bukannya popular sangat pun tiga-tiga artis ni... artis konon... tiga-tiga menggedik sakan... lagi aku respek artis lama...
BalasPadamEh..siapa ckp Neelofa x popular...gila x popular..kalau x top asal asyik trending jer di Twitter ek? Aku rasa Neelofa bkn shj top tp fenomena..kehadirnny myebbkn org msia kurang berckp pasal Justin bieber ngehngeh..fakta tuu.aku pernah terbaca tuit beberapa org teenagers yg kata followers/rakan sekelas diorg dah kurang ckp psl Justin bieber,salena gomes etc .diorg dah ada Neelofa!! Siap ada akaun parody @noleefa lg.kalau x popular apa ke jadah org buat akaun parody kan? Lagi satu Neelofa sbnrny lebih cenderung dlm bidang pengacaraan berbnding lakonan.aku kalaulah dia tarik diri dr Nona sure rating Nona jatuh menjunam..lagipun Aznil sendiri mengaku Neelofa ada Aura dn pengaruh yg kuat..kite tgok jelah sama2 nanti
BalasPadam