WALAUPUN namanya lebih dikenali dalam lapangan lakonan, namun bagi gadis jelita berusia 23 tahun ini, minat dan kesungguhannya adalah pada bidang pengacaraan sejak dulu lagi.
Mungkin rezeki dalam lakonan datang lebih awal membuat Neelofa juga bekas juara pertandingan Dewi Remaja 2010 ini akur dengan peluang yang tiba dan menjadikan ruang itu sebagai batu loncatan bagi memperkenalkan nama dan bakatnya.
Pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor yang mesra disapa Lofa ini bagaimanapun bersyukur apabila percaturannya untuk mengejar impian menjadi seorang pengacara akhirnya berjaya direalisasikan apabila pihak produksi Nona mengundangnya sebagai pengacara.
Bagai bulan jatuh ke riba, gadis berkulit gebu putih juga kacukan Melayu, Pakistan dan Arab ini tidak berfikir dua kali untuk menerimanya dan menganggap itu satu cabaran buatnya.
“Memang sejak dulu saya ingin menjadi seorang pengacara. Malah, ketika di Dewi Remaja, saya sudah melihat ke mana arah kerjaya saya, cuma ketika itu sebagai orang yang masih baru dan merangkak, saya tidak punya suara untuk memilih, sebaliknya akur dengan apa yang sudah diberikan kepada saya termasuk membintangi filem Azura sebagai percubaan sulung.
“Alhamdulillah bermula dari situ, nama saya perlahan-lahan dikenali dan peminat mula nampak kehadiran saya,” katanya.
Lebih menggembirakannya apabila program berbentuk majalah yang sememangnya menjadi kegemarannya selama ini, Nona pula datang membentangkan peluang terbaik untuknya. Tambahnya, inilah rezeki dan tiada siapa menduga.
“Syukur apabila saya diberi tanggungjawab untuk memegang profil mengacarakan Nona.
Ini adalah sebuah program besar yang mempunyai peminatnya sendiri. Justeru, apabila saya diberi kepercayaan menggantikan Vanidah Imran untuk menyambung pula tugas mengacara, ia memang memberikan pengalaman yang menarik dan menyeronokkan.
“Kini selepas hampir setahun mengendalikannya, saya sudah makin selesa dan serasi dengan keseluruhan konsep program ini.
"Nona jelas mematangkan saya dalam lapangan mengacara dan mengasah kemampuan saya dalam mengendalikan sesebuah program televisyen.
"Ikhlas saya katakan, Nona memang sebuah program yang memberikan saya lebih keyakinan dan rasa percaya pada bakat sendiri.
“Mungkin, inilah institusi pengajian terbaik untuk menjadi seorang pengendali program televisyen,” katanya.
Tambah anak ketiga daripada sembilan beradik yang pulang beraya di kampung halamannya di Pasir Mas, Kelantan bersama keluarganya turut menyifatkan kandungan Nona banyak mencurahkan manfaat terutama buat dirinya sebagai pengacara.
“Nona bukan saja meletakkan saya di depan kamera sebagai pengacara sebaliknya, saya juga diberi peluang untuk keluar membuat liputan.
"Paling menggembirakan dan kenangan paling manis seingat saya apabila dihantar ke London dan Paris untuk mendekati profil wanita di sana. Itu memang banyak mengajar saya dan memberikan pengalaman unik buat saya,” katanya lagi.
Pengacara terdahulu seperti Datin Normala Shamsudin, Datin Norzalina Redzuan, Datin Nurjuma dan Nurul Syuhada Nurul Ain adalah rujukan buatnya menguatkan lagi profil kerjaya mengacara Nona.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.