SHAH ALAM - Sepatutnya tidak timbul langsung sebarang pertikaian bersabit hasrat Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang mencadangkan tapisan dilakukan ke atas calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Apatah lagi, menurut ahli panel berkenaan, Datuk Seri Azman Ujang, ia adalah satu bentuk mekanisme yang baik untuk menangkis persepsi di kalangan rakyat bersabit amalan rasuah di kalangan calon-calon yang bertanding dalam PRU13 ini.
"Persepsi rasuah ini yang menyebabkan indeks persepsi rasuah di negara ini tidak seperti yang diharapkan. Jika sudah ditapis oleh SPRM, sekurang-kurangnya rakyat tahu mereka ini sudah ditapis SPRM," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Tambah beliau, panel tidak nampak cadangan berkenaan akan mendatangkan masalah atau pun mengundang tanggapan yang yang bukan-bukan kerana ia bertujuan memberi kebaikan kepada semua pihak.
"Itu sahaja. Kalau ada parti politik, kerajaan atau pembangkang, jika mereka tidak setuju, memang tidak logiklah sebab semua parti benci terhadap rasuah. Ini untuk mengelakkan prasangka dan seboleh-bolehnya calon itu bebas dari kes rasuah.
"Kita rasa kalau calon ini bebas dari segi siasatannya, tiada tuduhan rasuah terhadap dia, tidak kisah daripada mana-mana parti, ia akan mencerminkan baik untuk parti yang dia wakili," ujar Azman.
Terdahulu, pelbagai pihak menyuarakan pandangan apabila panel bebas bahagian pencegahan ini tampil dengan idea supaya calon PRU13 ditapis oleh SPRM.
Di sebalik ramai yang bersetuju, tidak kurang suara-suara yang mempertikaikan kredibiliti SPRM dalam mengendalikan proses ini, persoalan tidak adanya undang-undang khusus yang membenarkan calon PRU untuk ditapis sehingga lah kepada yang berpendapat, cukup lah sekadar ditapis di peringkat dalaman parti sahaja.
Apa pun kata Azman, pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih di atas pandangan yang diberikan.
Beliau seterusnya berharap semua parti dapat memberi kerjasama baik dalam menjayakan cadangan ini bagi memastikan tidak timbul masalah bersabit calon parti masing-masing di kemudian hari.
Ini katanya, bagi mengelakkan masalah-masalah seperti calon yang menang kemudiannya dikesan terbabit dengan rasuah selepas bergelar wakil rakyat sehingga Pilihan Raya Kecil (PRK) terpaksa dilakukan.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.