Pengerusi Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli menawarkan diri menjadi perantara untuk mendapatkan tanda tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membolehkan kebenaran Bank Negara menyiasat secara terperinci kewangan Ketua Pembangkang itu dalam semua bank yang didedahkan dalam surat misteri BankLeak baru-baru ini.
Menurut beliau deraf surat kebenaran Anwar kepada Bank Negara telah disediakan oleh Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kasim.
“Bagi saya untuk tandatangan surat ini bukan satu perkara yang payah. Anwar boleh nyatakan di mana, pukul berapa, saya akan ke rumah dia untuk serahkan surat ini dan minta dia turunkan tanda tangan untuk kita hantar surat ini segera kepada Bank Negara,”katanya kepada Buletin Utama TV3 semalam.
Menurutnya, kebenaran itu perlu diberi secara bertulis kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz bagi membolehkan akuan milik Anwar didedahkan.
Tegasnya, Anwar tidak perlu takut untuk membenarkan siasatan ke atas akaun yang didakwa miliknya itu sekiranya beliau yakin tidak bersalah.
Pada 2 Ogos lalu, bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Dr. Mazlan Ismail mendedahkan beliau telah menerima kira-kira 6,000 surat misteri bertajuk “Bankleaks Anwar/Karpal” yang dikirim melalui pos kepadanya dan penduduk kawasan itu.
Dr Mazlan turut menyerahkan surat misteri itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan agensi itu menyiasat secara menyeluruh kandungan surat tersebut.
Surat misteri 8 halaman itu mendakwa Anwar telah membuat pembayaran ‘urus niaga’ kepada Karpal Singh melalui 6 bank iaitu United Overseas Bank (KL), Bank of China (KL), Development Bank of Singapore, Standard Chartered (KL), Citibank (KL) dan HSBC (KL).
Dua penama, C.K.Yuen dan Idris turut disebut sebagai perantara Anwar-Karpal.
Kesemua bank luar negara yang mempunyai cawangan di Malaysia itu kecuali Citibank (KL) dan HSBC (KL) turut dinyatakan nombor akaun dan jumlah wang yang dimiliki Anwar Ibrahim.
Maklumat terperinci Anwar di Citibank (KL) dan HSBC (KL) tidak dilampirkan kerana tidak mendapat kebenaran daripada pihak bank tersebut.
Begitu juga dengan pemilikan Anwar di American Express Bank Ltd.
Dokumen itu turut menyatakan Anwar turut memiliki beberapa akaun di bank tempatan iaitu Bank Islam Malaysia Berhad, namun tiada maklumat terperinci diberikan.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.