Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan yang juga penaung MyWatch mengambil keputusan meninggalkan badan pemantau jenayah itu untuk mengetuai badan bukan kerajaan (NGO) baru.
Keputusan untuk berbuat demikian didakwa ekoran kes tembakan pengerusi badan pemantau jenayah itu, R Sri Sanjeevan Julai lalu.
Bagaimanapun Musa sendiri tidak mahu bercakap apa-apa mengenainya. Namun, dua sumber berbeza The Malaysian Insider mengesahkannya.
Penasihat Mywatch, S Gobi Krishnan dan bekas setiausaha agung badan itu V Ravindran memberitahu mengenai perkara itu.
Ravindran akan menyertai Musa yang akan mempengerusikan badan pemantau jenayah baru, Malaysia Community Crime Care Association.
“Semuanya akan didedahkan dalam mesyuarat pertama kami hari ini,” kata Ravindran dan menambah organisasi itu didaftarkan pada April lalu.
Ravindran memberitahu, beliau meninggalkan MyWatch kerana sebagai setiausaha agung beliau tidak diberitahu mengenai pelbagai perkara melibatkan badan pemantau jenayah itu.
“Saya juga mendengar berita yang agak mengganggu sebelum Sanjeevan ditembak dan membuat keputusan untuk menjauhkan diri dari Mywatch.
“Saya tidak boleh bercakap lebih lagi kerana kes tembakan Sanjeevan masih dalam penyiasatan polis,” katanya.
Sanjeevan, 29, ditembak di simpang lampu isyarat di Bahau, Negeri Sembilan pada 27 Julai dan pada ketika ini masih dirawat di Hospital Serdang. Polis masih menunggu untuk menyoalnya.
Sementara itu, Gobi memberitahu bahawa maklumat awal mengenai pembabitan polis dalam kes tembakan Sanjeevan adalah tidak benar dan bukti baru yang ditemui mencadangkan ianya berkait dengan sindiket dadah.
Tok Musa tahu apa yang dia nak buat,perlu buat dan patut buat.Aku hormati apa saja kerja kerja buat dia.
BalasPadam