PAS Selangor akan berdiri teguh dibelakang Sultan, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung polemik kalimah Allah yang melarang penggunaannya oleh masyarakat bukan Islam di negeri ini terutamanya dalam Bible versi Bahasa Melayu.
Menurut Pesuruhjaya Negeri Iskandar Abdul Samad, larangan penggunaan tersebut telah termaktub di bawah undang-undang khususnya di bawah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di kalangan Orang Islam) 1988 (selepas ini dirujuk sebagai Enakmen 1988).
Justeru jelas beliau, serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di pejabat Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Damansara Kim, Petaling Jaya dan merampas lebih 300 naskah Bible versi Bahasa Malaysia dan Iban disokong parti berteraskan Islam itu.
"Ini telah dijawab dalam sidang DUN bahawa telah ada enakmen dan ada titah daripada Tuanku. Cuma apa yang timbul apabila orang mahu jawapan daripada PAS sebab mereka mahukan kenyataan daripada PAS.
"Kalau perkara ini dah ada dan Tuanku juga telah bertitah, saya rasa tak perlu kita nak komen sebab ada isu atau perkara yang sudah ada undang-undang buat apa kita nak komen lagi," katanya dalam temubual eksklusif bersama Antarapos di pejabatnya di bangunan SUK baru-baru ini.
Pada 2 Januari lepas, JAIS menyerbu premis berkenaan sebagai usaha membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab itu yang didakwa melanggar Enakmen 1988. Tindakan berkenaan dikecam oleh pihak tertentu terutama golongan bukan Islam.
Pada 8 Januari, kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat yang diterajui Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan JAIS mendapatkan pengesahan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung status naskhah Bible versi Bahasa Melayu dan Iban yang dirampas jabatan itu daripada PBM.
Tambah Iskandar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, polemik tersebut tidak sepatutnya diperbesarkan kerana ia sudah jelas selain terdapat undang-undang atau enakmen yang telah digubal.
"Undang-undang sudah ada, titah Tuanku juga sudah ada...jadi tak perlu sebarang komen daripada kita.
"Malah saya melihat isu ini apabila orang minta komen lagi pada saat Tuanku dah bertitah serta enakmen sudah ada di mana pembangkang masih desak mahu penjelasan daripada Menteri Besar dan exco agama walhal ia sudah ada macam sudah terang lagi bersuluh," katanya lagi.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.