Melihat gelagat sekumpulan siswa sebuah institusi pengajian tinggi bagaikan berlumba-lumba menayangkan model terbaru telefon pintar di tangan, penulis hanya mampu menggelengkan kepala.
Beriya-iya benar kumpulan lima siswa perempuan berkenaan memperagakan telefon bimbit yang berharga sekitar RM1,500 itu antara satu sama lain.
Ia ternyata hebat kerana penulis yang bekerja pun hanya mampu memiliki telefon bimbit berharga murah. Keghairahan golongan muda terhadap gajet atau barangan berjenama mahal dengan harga ribuan ringgit, ia bukan fenomena luar biasa.
Namun yang menjadi luar biasa ialah mereka daripada golongan pelajar yang tentunya tidak mempunyai pendapatan tetap.
Penulis percaya duit untuk membeli telefon bimbit itu pasti datang daripada wang pinjaman yang sepatutnya digunakan bagi tujuan menampung perbelanjaan.
Menyorot fenomena ini, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Syed Ismail Syed Mohamad berkata, pengaruh persekitaran terutama tarikan rakan dan media massa antara faktor utama golongan itu hilang pertimbangan.
Beliau berkata, mereka berani mengambil risiko kekurangan duit semata-mata mahu memenuhi keperluan naluri dan mung–kin juga mahu setanding rakan lain.
“Biar pun faham kegunaan wang itu adalah sebagai talian hayat mereka di universiti, tarikan persekitaran yang sangat kuat mampu menghilangkan pertimbangan dan kewarasan berfikir.
“Mereka sanggup ikat perut agar tidak ditertawakan rakan yang mungkin boleh menjatuhkan imej pada mata orang lain.
“Namun, apabila tersedar bahawa tindakan itu mengundang padah, barulah mereka akan menggelabah. Duit sudah hampir kering sedangkan semester masih ada lagi,” katanya.
Rentetan itu katanya, siswa akan menggunakan cara lain bagi memastikan mereka tidak terus dihimpit isu kekurangan duit.
“Mulalah timbul keadaan insiden meminta duit daripada ibu bapa yang diistilahkan sebagai FAMA (father mother), meminjam dengan rakan juga bekerja sambilan. Selepas itu, timbul juga masalah pencapaian merudum, kerja tidak mampu diselesaikan dan tidak hadir ke kuliah.
“Bayangkan, disebabkan kehilangan pertimba–ngan untuk berfikir dengan matang, banyak masalah lain berbangkit, sekali gus menghuru-harakan kehidupan siswa,” katanya tidak menafikan kebanyakan yang terjebak adalah siswa Melayu berusia 18 hingga 22 tahun.
“Meskipun tiada kajian khusus atau ilmiah, secara dasarnya inilah golongan yang paling banyak berbelanja tanpa had. Saya tidak kata semua (siswa Melayu boros), mungkin bangsa lain juga ada tapi memandangkan jumlah siswa ini paling ramai di institusi, tanggapan itu tidak dapat dielakkan.
“Apatah lagi jika kita lihat, betapa bergayanya mereka dengan rangkaian barangan mahal yang seharusnya hanya mampu dimiliki golongan bekerja,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.